TMJ Mendedahkan Pemain Dan Pegawai Pasukan Harimau Selatan

Adakah pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang lain mampu mengikut jejak langkah Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam menjaga polisi dan etika kerja pasukan mereka?

Ia selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pemain atau pegawai pasukan Harimau Selatan berdepan denda yang tinggi iaitu RM40,000 jika salah guna media sosial dan RM15,000 bagi kesalahan lewat menghadiri latihan.

Bagaimanapun terdapat andaian daripada beberapa pihak adakah pasukan lain sesuai mengikut cara dengan mengenakan hukuman denda sedangkan ada pasukan yang berdepan isu pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan?

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa menjelaskan peraturan itu wajar dilaksanakan semua pasukan dan sepatutnya sudah lama dilakukan bagi menjaga disiplin dan etika kerja kelab.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berkata, pasukan tidak perlu mengikut sepenuhnya cara JDT dengan mengenakan denda tinggi, sebaliknya memberikan hukuman yang sesuai ke atas pemain dan pegawai.

“Bagi pasukan lain yang miskin atau kekurangan dari segi kewangan, jangan letak denda RM40,000 kerana mereka mungkin boleh tetapkan RM5,000 atau berdasarkan jumlah purata.

“Masukkan jumlah itu dalam kontrak, contohnya tolak 20 peratus daripada gaji pemain. Itu adalah yang praktikal, takkan pemain akan mengulangi kali kedua sebab kalau kena kali kedua sudah jadi 40 peratus.

“Ia perlu dilaksanakan sebagai menunjukkan bahawa tidak ada pemain diberikan layanan istimewa dan menjaga imej pasukan serta etika kerja semua individu dalam organisasi,” katanya kepada BH Sukan.

Selain itu, Mohd Sadek menegaskan bahawa peraturan itu juga sepatutnya sudah lama dilakukan pasukan yang mana ia turut dilaksanakan pasukan di liga besar seperti di Liga Perdana Inggeris.

sumber : BH

“Sepatutnya, asas penjagaan etika dalam pematuhan kontrak pemain sudah lama dinyatakan dengan pengurusan ada kuasa untuk mengenakan denda dalam bentuk kewangan atau tindakan penggantungan.

“Salah guna media sosial itu adalah kesalahan etika dan memberi kesan kepada imej pasukan. Tapi sekarang ini kenapa kita nak tengok dekat JDT saja, perkara itu sudah berlaku sejak dulu,” katanya.