Terima Kasih TMJ

Pemain naturalisasi kedua negara, Liridon Krasniqi menyifatkan panggilannya menyertai skuad kebangsaan Malaysia sebagai impian yang menjadi kenyataan.

Menerusi laman Instagramnya, pemain yang kini beraksi bersama Newcastle Jets itu mengakui dia sudah lama mengimpikan untuk beraksi mewakili negara yang membantu membentuk kariernya sebagai pemain bola sepak profesional sejak beberapa tahun lalu.

Menerima panggilan pertama daripada skuad kebangsaan Malaysia untuk pusingan Kelayakan Piala Dunia sangat menggembirakan saya. Saya sangat berbesar hati dan bersyukur dengan peluang untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Saya mahu mengucapkan terima kasih Tuhan, kepada rakan sepasukan, jurulatih, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan sesiapa sahaja yang membantu saya dalam perjalanan ini dan peluang yang mengagumkan.

“Saya tidak sabar untuk memberikan yang terbaik dan berharap dapat mencapai perkara yang hebat untuk Malaysia,” katanya selepas namanya antara 25 pemain yang disenaraikan oleh jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Hantaran terbabit turut mendapat reaksi beberapa rakan sepasukannya seperti Matt Davies dan Ahmad Hazwan Bakri.

Matt Davies membalas hantaran itu dengan komen ‘ayuh lakukannya saudara’ sementara Hazwan meninggalkan komen dengan emoji api.

Beberapa pemain antarabangsa turut meninggalkan komen seperti pemain Bayer Leverkusen, Karim Bellarabi dan pemain Borussia Dortmund, Emre Can.