Safiq Rahim Mendedahkan

Bergelar pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin tidak sesukar yang dijangkakan kerana mereka tidak akan ‘pening’ memandangkan hanya perlu memikirkan dua perkara – berlatih dan menunjukkan persembahan yang terbaik di atas padang.

Situasi itu diakui ‘jeneral’ skuad Harimau Selatan, Safiq Rahim yang mendedahkan pemain di pasukan itu tidak perlu memikirkan mengenai perkara lain sekali gus tiada alasan untuk tidak memberikan yang terbaik sama ada ketika dalam latihan mahupun aksi sebenar.

Hanya berlatih dan berikan persembahan yang terbaik ketika perlawanan. Benda lain semuanya sudah disediakan oleh pasukan dan Tunku Ismail (Sultan Ibrahim) untuk prestasi pemain.

“Pengurusan lain mungkin kurang ataupun tiada perkara seperti ini kerana sebagai pemain, kita memikirkan banyak benda. Tetapi di sini, kita cuma beri yang terbaik semasa latihan dan perlawanan,” katanya menerusi satu program di Bola@Mamak, baru-baru ini.

Dalam masa sama, bekas kapten Harimau Malaya itu sempat menitipkan beberapa pesanan kepada mana-mana pemain yang memiliki impian untuk beraksi bersama juara Liga Super sebanyak lapan kali berturut-turut itu.

Lakukan tugas anda dan berikan yang terbaik. Anda perlu ada hati yang besar untuk berada di sini kerana permintaan (tinggi) daripada pasukan.

“Pemain perlu tekankan untuk sentiasa menepati masa dan disiplin kerana anda bukan sahaja bermain bola sepak semata-mata,” katanya.

Sebagai rekod, pemain berusia 34 tahun itu mula menyertai JDT sejak musim 2013 dan selepas enam musim menempa pelbagai kejayaan bersama pasukan itu, dia berubah ‘angin’ apabila berhijrah ke Melaka United (MU).

Namun, dia kembali ke pangkuan JDT pada musim ini dan membantu pasukannya itu merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kelapan.