Perlu Maklumkan Terlebih Dahulu

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan jumlah kehadiran penyokong ke stadium termasuk bagi menyaksikan saingan Piala Malaysia bermula 29 Oktober ini adalah mengikut status negeri yang berada di bawah Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata jumlah berkenaan adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Katanya, bagi negeri yang berada dalam Fasa 2, sebanyak 20 peratus daripada kapasiti stadium atau 5,000 penonton manakala Fasa 3 (30 peratus atau 10,000) dan Fasa 4 (50 peratus atau 20,000) dibenarkan ke stadium, mengikut jumlah mana yang lebih rendah.

MFL mahu merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini mengumumkan kebenaran kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.

“Apa yang pasti, ia menjadi satu langkah yang baik bagi melonjakkan kembali industri bola sepak negara apatah lagi kita sedang meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia selepas kejohanan ini terpaksa dibatalkan akibat pandemik C0V!D-19 pada tahun lalu.

“MFL memberikan kebenaran kepada kelab untuk mengikut kuota penyokong yang ditetapkan atau mengurangkan jumlah kemasukan penonton berdasarkan kemampuan kelab daripada segi pengurusan petugas stadium, pasukan keselamatan atau marshall pada hari perlawanan bermula dengan aksi minggu ketiga Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

“Apa yang penting juga, hanya penyokong atau penonton sudah lengkap divaksinasi boleh masuk ke stadium selain wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

“Bagi kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan berada di stadium mengikut SOP ditetapkan kerajaan dan juga SOP kebenaran penonton masuk ke stadium pada April lalu yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani turut memaklumkan penyokong juga dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan persahabatan kelab yang bertanding dalam Piala Malaysia jika ada aksi pemanas badan sepanjang perlawanan antarabangsa pasukan kebangsaan pada bulan ini.

sumber : BH

“Bagaimanapun kelab terbabit perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada MFL dan wajib mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN, KKM dan KBS bagi kemasukan penyokong ke stadium walaupun perlawanan itu hanya berstatus aksi persahabatan.

“Ini penting bagi memastikan kita bersama-sama menjaga SOP untuk mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku. SOP yang lengkap berkenaan penyokong masuk ke stadium bermula 29 Oktober akan diberikan kepada pasukan dalam tempoh terdekat,” katanya.