Pemain pertama tinggalkan pasukan

Pertahanan tengah, Muhammad Mohd Fauzi menjadi pemain pertama Terengganu FC (TFC) meninggalkan pasukan itu musim ini.

Pemain berusia 25 tahun itu yang pernah berguru di Queensland, Australia selama tiga bulan ketika menyarung jersi skuad Harimau Muda A bagaimanapun enggan mengumumkan lagi destinasinya kerana masih berbaki sehari lagi kontraknya sehingga esok.

Namun pemain yang kerap menjadi pilihan jurulatih diturunkan ketika aksi pusingan pertama Liga Super musim ini sebelum tempatnya menjadi milik Shahrul Nizam Ros Hasni dikatakan bakal menyarung jersi pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) musim depan.

Pemain yang ‘dinaikkan pangkat’ bermula 2019 daripada pasukan ‘adik’ Terengganu FC II (TFC II) berkata, penghijrahannya bukan kerana khidmatnya tidak diperlukan lagi skuad Penyu itu musim depan sebaliknya ingin menimba pengalaman baharu.

Saya tidak digugurkan daripada pasukan TFC, malah khidmat saya masih diperlukan skuad itu, cuma Mad (Muhammad) nak ubah angin dan menimba pengalaman baharu bersama pasukan lain musim depan.

Mad harapkan penghijrahan ini bakal membuka lembaran baharu dalam karier bagi meningkatkan lagi corak permainan dalam usaha membantu pasukan yang bakal disertai nanti meraih kejayaan.

Buat pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan serta rakan sepasukan dalam pasukan TFC, terima kasih semua kerana telah banyak membantu Mad sepanjang karier bersama pasukan itu.

“Buat peminat TFC yang sentiasa jatuh dan bangun bersama pasukan, terima kasih tidak terhingga kerana sentiasa memberikan sokongan padu sehingga TFC berjaya layak ke separuh akhir Piala Malaysia dan menghuni di tangga keempat Liga Super musim ini, semestinya Mad merindui aura sorakan anda,” katanya ketika dihubungi hari ini.

sumber:- BH

Berdasarkan rekod, bekas murid Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang, Kuala Terengganu berketinggian 1.80 meter itu mula menyarung jersi Harimau Muda A ketika berusia 18 tahun bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.