Penghalang Utama Malaysia

Musuh tradisi, Indonesia dianggap sebagai pasukan yang boleh menjejaskan peluang buat skuad Harimau Malaya melepasi saingan peringkat kumpulan dan melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menganggap pasukan negara jiran itu sebagai antara pencabar utama dalam Kumpulan B selain juara bertahan, Vietnam.

Menganggap undian seimbang dalam Kumpulan B, Cheng Hoe bagaimanapun menjelaskan semua perlawanan adalah penting buat skuad Harimau Malaya termasuk aksi berdepan Kemboja dan Laos.

Kita bukan hanya fokus lawan Vietnam sahaja, sebaliknya kita tahu Indonesia pesaing yang orang kata musuh tradisi kita. Kemboja juga kita tidak boleh ambil mudah kerana mereka juga ada pemain yang berbakat.

Indonesia sejak kebelakangan ini di bawah jurulatih baru. Ada perubahan yang baik dari segi taktikal dan mereka juga membawa pemain muda yang bertenaga.

Kita di barisan jurulatih akan sentiasa memantau dari segi prestasi setiap pemain dan pada masa sama kita juga perlu melihat persiapan pasukan dari negara lain juga.

“Seperti saya katakan, Vietnam berada dalam kelayakan terakhir Piala Dunia dan memang kita boleh nampak mereka berada dalam satu tahap yang lain,” katanya selepas undian, semalam.

Kejohanan Piala AFF 2020 yang sebelum ini terpaksa ditunda akibat C0VID-19 dijadualkan bermula pada 5 Disember hingga 1 Januari depan.

Untuk rekod, Malaysia dan Vietnam turut berada dalam kumpulan sama pada saingan 2018 yang menyaksikan kedua-dua pasukan itu mara ke final, sebelum skuad Harimau Malaya terpaksa akur tewas dengan agregat 3-2.

Pada undian semalam, juara lima kali Piala AFF, Thailand pula mengetuai Kumpulan A yang turut dihuni Myanmar, Filipina, Singapura dan pemenang aksi kelayakan antara Brunei atau Timor Leste.

Selain itu, Cheng Hoe tampak masih belum mahu mendedahkan sasaran utama buat pasukan kebangsaan untuk kejohanan kali ini.

sumber:- BH

“Sebagai jurulatih kita nak sasaran terbaik setiap kali kita masuk pertandingan dan sudah pasti kita tak boleh ambil mudah, kita tetap fokus setiap perlawanan,” katanya.