Awas Selangor lebih bahaya

Selangor FC mungkin tidak lagi seperti sebelum ini apabila mereka dijangka tampil dengan aksi lebih kemas selepas mengharungi ‘transformasi’ sepanjang tempoh rehat Liga Malaysia (Liga M) selama dua bulan.

Pengendalinya, Karsten Neitzel mel0ntarkan keyakinan betapa pasukan bimbingannya itu kini berada pada tahap yang berbeza sekali gus menuntut anak buahnya lebih gar@ng untuk baki kempen liga pada musim ini.

“Saya melihat perkembangan mereka dalam beberapa minggu ini tetapi apa yang penting adalah mereka dapat tunjukkan (peningkatan) di atas padang. Jadi, kita akan bermula dengan aksi menentang KL City malam ini.

“Berdasarkan persembahan terdahulu, kita sebenarnya beraksi dengan baik tetapi ia seharusnya konsisten dan kekal fokus sepanjang 90 minit. Kita juga perlu bertahan dengan baik khususnya dalam situasi bola m@ti.

“Ini satu cabaran buat kita tetapi kita perlu berani dan di penghujungnya nanti, kita akan lihat apa yang boleh kita dapatkan daripada perlawanan yang akan kita hadapi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pertembungan menentang KL City FC di Cheras malam ini, pengendali dari Jerman itu mengakui aksi itu sememangnya istimewa apatah lagi ia berstatus ‘derby’ yang menemukan antara dua pasukan berjiran dengan sejarah bola sepak tersendiri.

“Ini kali ketiga kami bertemu mereka pada musim ini dan melihat kepada dua perlawanan sebelum ini, kami ada peluang untuk menang dan kami akan teruskan gaya permainan kami untuk perlawanan itu.

“Walaupun tidak sepanjang 90 minit, kami akan menekan mereka di garisan tinggi dan cuba mengelak daripada dibolosi seperti dalam pertemuan sebelum ini selain memanfaatkan peluang yang dicipta.

“Kita ada gabungan pemain senior dan muda yang baik dan kombinasi itu perlu ditunjukkan di atas padang. Mereka perlu percaya pada kemampuan sendiri dan sentiasa berfikiran positif,” katanya.