Zainal Abidin Hassan Atasi Pencapaian Pele

Legenda bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan menerima pengiktirafan antarabangsa apabila berada di dalam senarai 10 penjaring terbanyak sepanjang zaman peringkat antarabangsa.

Senarai tersebut dikeluarkan oleh Globe Soccer Awards di rangkaian media sosial mereka pada hari ini.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan, Zainal berada di kedudukan ke-7 dengan jumlah jaringan 78 gol antarabangsa. Zainal yang kini adalah Ketua Jurulatih Melaka di saingan Liga Super Malaysia pernah tampil dalam 138 perlawanan untuk Harimau Malaya.

Lebih menarik, senarai tersebut menunjukkan Zainal mengatasi pencapaian legenda bola sepak Brazil Pele, yang berada di kedudukan ke-8 dengan 77 gol.

Berada di kedudukan pertama adalah penyerang Iran, Ali Daei yang telah menjaringkan 109 gol antarabangsa sepanjang kariernya.

Kedudukan tersebut dijangka akan dipintas pada masa hadapan, apabila bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mengikuti rapat dengan 99 gol.

Zainal Abidin Hassan kini berusia 58 tahun memulakan karier bola sepaknya bersama Selangor pada 1980an. Sepanjang karier profesional hampir 20 tahun, Zainal turut pernah beraksi bersama Pahang.

Beliau bersara daripada bola sepak pada 1999 sebelum menceburi bidang kejurulaihan, dan dianggap sebagai satu-satunya ‘total footballer’ yang pernah negara miliki.

Selain daripada kemampuan beraksi sebagai pemain penyerang, Zainal turut boleh beraksi di bahagian tengah, sebelum berperanan sebagai pemain pertahanan pada penghujung kariernya.

Antara kejuaraan yang pernah diraih oleh Zainal adalah tiga kejuaraan Liga Malaysia, dan empat Piala Malaysia ketika beraksi bersama Pahang dan juga Selangor.