Usah Pandang Rendah

Usah pandang rendah terhadap keupayaan pemain berstatus ‘kuda tua’!

Itu amaran yang cuba disampaikan perancang tengah berpengalaman, Mohd Badhri Radzi kepada barisan pemain muda dalam Liga Malaysia (Liga M).

Mengakui tidak sepantas dulu untuk melawan pemain lebih muda, namun Mohd Badhri atau Piya menegaskan pengalaman bakal menjadi senjata utama pemain veteran untuk berdepan lawan di atas padang.

“Jika dinilai pada umur seperti saya atau Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin dan Amri Yahyah, tugas kami memang berat untuk memastikan dapat memberi aksi terbaik buat pasukan.Disyorkan Untuk Anda

“Kalau nak kejar atau melawan kepantasan pemain muda yang berusia belasan tahun atau bawah 30 tahun memang susah, tapi kita perlu beraksi menggunakan otak serta pengalaman.

“Kalau kudrat ada, tapi tak cerdik tak guna juga. Namun, dengan pengalaman yang ada, kami boleh gunakan untuk bantu pemain muda di atas padang,” katanya kepada BH Sukan.

Semalam, akhbar ini melaporkan keupayaan beberapa pemain ‘otai’ dilihat masih lagi mendapat kepercayaan pasukan Liga M walaupun ada di antara mereka sudah mencecah usia lebih 40 tahun.

Selain itu, Piya menegaskan akan terus beraksi selagi dia boleh menyumbang sesuatu kepada pasukan yang disertai.

“Kalau sudah jiwa bola, rasa tak boleh tak main bola. Malah, terasa macam nak demam pun ada jika tak boleh main bola. Maknanya selagi kita boleh main, kita akan main.

“Banyak perbezaan sekarang dengan ketika usia muda dulu termasuk dari segi kepantasan. Namun, untuk meletakkan diri sentiasa dalam keadaan baik kita kena jaga tidur, makan dan banyakkan minum air,” katanya.