Usah Kemaruk Sangat

JANGAN terlalu mengejar pemain kacukan dan naturalisasi sehingga mengabaikan ubi muda tempatan kerana tindakan itu bakal menghancvrkan masa depan bola sepak negara di peringkat akar umbi.

Peringatan terbabit ditegaskan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam Mohd Sadek Mustaffa apabila melihat ketika ini banyak pihak terlalu kemaruk mengambil pemain kacukan dan naturalisasi dalam jumlah tidak terkawal semata-mata mahu menguatkan barisan Malaysia.

Beliau berkata, tindakan tidak mengehadkan jumlah pemain kacukan atau naturalisasi menyebabkan peluang pemain tempatan tertutup malah turut memberi masalah kepada ubi muda yang matang dan bersedia menggalas cabaran mewakili negara.

Kita seharusnya tidak mengambil mudah atas tiket semata-mata mahu menguatkan barisan skuad Malaysia kerana persoalan sekarang ini adakah mereka faham nilai, budaya dan etika negara.

Selain bakat, semangat patriotik juga penting dan juga mengambil pemain tanpa mengikut ciri ditetapkan itu pasti memberi contoh buruk kepada rakyat di negara ini.

Pada masa sama, kerajaan dan beberapa pihak lain juga banyak melabur dalam membentuk pemain akar umbi seperti Akademi Mokhtar Dahari dan jika mereka tidak dapat mewakili negara jelas ia menjadi pembaziran, katanya.

Ketika ini, barisan Malaysia dibarisi sekurang-kurangnya tiga pemain kacukan terdiri daripada tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) Corbin Ong dan Matthew Davies selain pemain Selangor Brendan Gan.

Ketika ini, skuad Malaysia mempunyai seorang pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh dan bakal disertai Liridon Krasniqi.

Namun, ada dua pemain kacukan dan seorang naturalisasi boleh dikatakan dalam senarai menunggu iaitu striker Perak Gulherme De Paula, Harry Edge dan Marcel Kalonda.

Situasi berkenaan sekali gus menyaksikan sekurang-kurangnya lapan pemain kacukan serta naturalisasi beraksi untuk skuad kebangsaan nanti.