Usah Cari Alasan!

PEMAIN bola sepak tempatan diingatkan supaya tidak terus keras kepala atau mencipta pelbagai alasan untuk mengelak daripada melakukan perbincangan mengenai pemotongan gaji susulan krisis Covid-19.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang juga pemerhati sukan tanah air, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, semua pihak yang terbabit dalam industri bola sepak negara perlu segera menyahut saranan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) itu.

Katanya, apabila Fifa sudah mengeluarkan garis panduan sebegitu, maka tiada sesiapa perlu mempertikaikannya lagi untuk segera mencari titik persamaan serta formula bersesuaian berhubung soal kontrak dan gaji pemain sekali gus demi menjaga periuk nasi semua pihak berkepentingan.

“Semua pihak terutama pemain dah boleh muhasabah diri dan kena beri ruang untuk kerjasama sebaik Fifa keluarkan garis panduan sebegitu selain mereka kena sedar realiti sebenar.

“Kita semua berada dalam situasi untuk terus kekal bertahan memandangkan impak ekonomi daripada wabak Covid-19 ini juga menjejaskan kewangan banyak pihak terutama penaja.”

“Jadi pemain kena fikirkan sama adakah mereka mahu melihat pasukan diwakili tutup kedai gara-gara masalah ini kerana enggan berbincang soal gaji.

“Jika fikir mereka susah, ramai lagi di luar sana yang lebih susah serta terjejas teruk daripada segi pendapatan kerana wabak ini.

“Maka saya berharap pihak yang mewakili pemain seperti Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFAM) dapat menemui badan pentadbir liga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam mencari formula yang mampu memberi kepuasan semua pihak serta boleh bertolak ansur dalam situasi genting ini,” katanya.

Selain itu, Zolkples mengakui isu penularan wabak Covid-19 ini membawa bencana kepada seluruh dunia termasuk industri sukan dan sesiapa tidak pernah terfikir kesannya mampu seteruk sebegini.

Justeru, beliau meminta semua pihak melihat skop yang lebih luas dan bukannya terhadap diri semata-mata.

“Dalam situasi sekarang, saya harap semua orang sudah boleh celik mata dengan perkembangan sedang berlaku membabitkan sukan-sukan di seluruh dunia malah temasya sebesar Sukan Olimpik pun kena tunda.

“Maka, warga sukan juga kena lakukan pengorbanan kerana semua pihak merasai keperitan yang sama kerana apa yang jadi keutamaan seluruh masyarakat dunia sekarang ialah kita bebas daripada Covid-19,” katanya.