turut diiringi tiga lagi rakan sepasukan

Kuala Lumpur: Andai ada anugerah barisan impian, pemain skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) nyata berada pada kelas tersendiri apabila mendominasi senarai kesebelasan utama pemain termahal Liga Malaysia (Liga M) musim ini membabitkan lapan pemain dengan Gonzalo Cabrera muncul bintang termahal dengan nilai 600,000 euro (€) atau RM3 juta.

Cabrera, 31, yang layak dinaturalisasikan sebagai pemain Malaysia pada tahun depan turut diiringi tiga lagi rakan sepasukan di JDT yang bermain di posisi tengah iaitu Leandro Velazquez, Natxo Insa dan Liridon Krasniqi bagi menggerakkan enjin pasukan.

Velazquez yang menjaringkan gol kemenangan untuk JDT ketika pasukan itu melakar sejarah menjuarai Piala AFC dengan menentang FC Istiklol 1-0 adalah pemain kedua termahal dalam senarai terbabit dengan tanda harga €550,000 (RM2.7 juta).

Sementara Natxo dan Liridon yang juga tonggak naturalisasi Harimau Malaya turut melengkapkan jentera tengah dengan masing-masing bernilai €325,000 (RM1.6 juta) dan €350,000 (RM1.7 juta).

Penjaga gol berpengalaman Harimau Selatan, Farizal Marlias layak mengawal pintu gol selepas merekodkan nilai paling tinggi berbanding beberapa pesaing lain di posisi itu dengan €275,000 (RM1.3 juta).

Melengkapkan penguasaan JDT, tiga tonggak pertahanan bermula Corbin Ong, Mauricio dan Matthew Davies turut berada dalam senarai terbabit dengan satu lagi tempat diisi pemain Sri Pahang dari Perancis, Herold Goulon.

Goulon yang juga antara pertahanan paling tinggi dalam saingan Liga M musim lalu dengan 1.95 sentimeter mencatatkan tanda harga sekitar €300,000 (RM1.5 juta) bersama Corbin dan Davies sementara Mauricio paling mahal €475,000 (RM2.3 juta).

Daripada empat posisi yang menggunakan formasi 4-4-2 itu, hanya bahagian peny3rang tidak membabitkan pemain JDT.

Ayam tambatan baharu Terengganu FC, Makan Konate merekodkan nilai tertinggi dengan €375,000 (RM1.8 juta).

Konate yang berasal dari Mali itu ditemani penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Ifedayo Olusegun dengan nilai €325,000 (RM1.6 juta) berikutan keupayaan hebat merobek gawang lawan.

Berdasarkan senarai itu, hanya lima pemain tempatan berada dalam kesebelasan utama dengan selebihnya adalah tonggak import.

Mengikut jumlah keseluruhan nilai kesebelasan utama pasukan impian itu, ia merekodkan RM20.5 juta dengan RM15.6 juta membabitkan pemain JDT.

Bintang tempatan seperti Safawi Rasid, Brendan Gan, Shahrul Saad, Shahrel Fikri dan Nor Azam Azih hanya layak berada dalam senarai simpanan selepas tanda harga mereka berada pada paras €300,000 (RM1.5 juta) dan ke bawah mengikut posisi masing-masing.