Aksi terakhir

Kuala Lumpur: Aksi terakhir dengan Sabah pada saingan Liga Super masih mempunyai 1001 makna buat ketua pasukan UiTM FC, Muhd Faizal Mohd Arif yang berharap mereka mampu sekurang-kurangnya mengutip satu mata dalam perlawanan itu bagi meletakkan  skuad ‘The Lions Troop’ itu berada di tangga keenam liga.

Jika ia menjadi kenyataan, Faizal mengakui situasi itu bakal meletakkan UiTM FC berada dalam laluan sedikit mudah bagi merintis jalan lebih jauh dalam pentas Piala Malaysia.

Ia berikutan UiTM FC akan berada dalam kalangan lapan pasukan pilihan termasuk dua pasukan teratas Liga Perdana, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi berdepan empat pasukan Liga Super dari kedudukan 7-11 dan 3-5 dari Liga Perdana.

”Selagi pertemuan dengan Sabah belum berlangsung, maka saya dan rakan-rakan belum lagi mahu memikirkan lagi saingan Piala Malaysia kerana peluang kami dalam saingan itu banyak bergantung keputusan dengan Sabah.

”Jika kami menang atau sekurang-kurangnya seri, saya rasa peluang kami mungkin akan lebih baik dalam saingan Piala Malaysia kerana di pusingan awal, kami dapat mengelakkan pasukan pilihan.

”Saya tidak kata memandang rendah saingan pasukan dari balang kedua itu, cuma setidak-tidaknya situasi itu akan memberikan sedikit kelegaan pada kami serta tidak merasai tekanan yang tinggi untuk mencari kemenangan,”katanya.

Perlawanan Sabah dan UiTM FC yang sepatutnya berlangsung pada 18 Oktober lalu terpaksa dipinda ke 31 Oktober berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan aksi itu akan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam.

Pindaan itu kali kedua selepas perlawanan asal sepatutnya berlangsung pada 10 Oktober di Stadium Likas, Kota Kinabalu namun kes mendadak yang dicatatkan di Kota Kinabalu membuatkan perlawanan itu tidak dapat diadakan di sana. 

Kedudukan Sabah yang berada di tangga ke-10 sudah terjamin untuk kekal di pentas Liga Super musim depan dan sebarang kemenangan hanya meletakkan pasukan itu naik ke tangga kesembilan bagi memintas Melaka.

Dalam pada itu, Faizal tidak menafikan kekalahan 2-4 pada perlawanan terakhir dengan PJ City FC sedikit sebanyak menggugat keyakinan rakan sepasukan dan berharap mereka mampu konsisten dalam tiap perlawanan.

”Kami sepatutnya boleh menang dalam perlawanan terakhir itu tetapi apa yang terjadi kami akan jadikan pengajaran agar sentiasa berhati-hati dalam tiap perlawanan. Memang prestasi kami kebelakangan ini ada turun naik dan bagi saingan Piala Malaysia, jika kami mahu melangkah jauh, kami perlu perbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.

Benteng UiTM bolos sebanyak tujuh kali dalam dua perlawanan terakhir Liga Super termasuk seri 3-3 bertemu Selangor.