Tugas berat menanti JDT

JOHOR BAHRU: Tugas sukar menanti Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bertemu Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, malam esok.

Walaupun melakar kemenangan besar 7-0 ke atas Perak Jumaat lalu, pengendali skuad Harimau Selatan Benjamin Mora mengakui tugas rumit menanti anak buahnya apabila menentang skuad bimbingan Nafuzi Zain yang kini berada di tangga kedua liga.

Mora menegaskan, TFC pasti mengintai peluang untuk bangkit selepas tumpas 1-0 kepada Melaka dan pasukan tampak berkelebihan tatkala beraksi di gelanggang sendiri yang juga aksi pertama JDT di stadium berkenaan.

“Untuk aksi menentang TFC, kami mahukan kemenangan walaupun sedar kesukaran yang bakal dihadapi.

“Malah saya menepis tanggapan sesetengah pihak yang berpandangan andai JDT menang ke atas TFC maka laluan untuk menjuarai liga semakin cerah.

“Sebaliknya, kami enggan memikirkannya, apa yang kami fokuskan adalah mengharungi satu demi satu perlawanan dan setiap aksi yang kami hadapi ibarat aksi final kerana semua tahu saingan liga pada musim ini hanya dilangsungkan pusingan sahaja.

“Jika kami terlalu memikirkan untuk buru kejuaraan kemungkinan apa yang dirancang boleh tersekat di pertengahan jalan.

“Biarlah kami beraksi dengan konsisten dan mengekalkan momentum taktikal permainan yang efektif,” kata Mora.