Tok Gajah bangkit tumpaskan PKNS FC

PKNS menentang Pahang. Semut Merah menentang Tok Gajah. PKNS terus mengejar tempat tiga teratas dan Pahang pula mahu terus mengekori rapat Johor Darul Ta’azim.

PKNS : 1 vs 2 : PAHANG

PKNS : 1 vs 2 : PAHANG

Posted by Gegar Vaganza 5 on Sunday, April 14, 2019

1. Empat pemain boleh robek benteng Pahang

Datuk K. Rajagobal membuat satu pertukaran dengan memasukkan Qayyum Marjoni bagi menggantikan tempat K. Kannan. Tiada perubahan selain dari itu dengan PKNS terus menggunakan formasi 4-1-4-1. Seperti biasa, empat pemain yang akan mendatangkan masalah buat Pahang diturunkan. Chan Vathanaka, Romel Morales, Gabriel Guerra dan Kpah Sherman jika tidak dirantai, boleh mendatangkan bahaya kepada Tok Gajah. Akram Mahinan akan terus memainkan peranan penting untuk memastikan bola sentiasa di dalam penguasaan PKNS.

2. Safuwan vs Akram bakal tentukan keputusan

Bagi Dollah Salleh pula, dia akan mengharapkan dua penyerangnya, Dicskon Nwaekaeme dan Ze Love untuk terus mencari keserasian dan menghadirkan gol buat Pahang. Wan Zaharulnizam diturunkan untuk beraksi di bahagian tengah berbanding posisi asalnya di bahagian sayap yang diisi oleh Norshahrul Idlan Talaha. Perlawanan ini mungkin akan menyaksikan perebutan kuasa di bahagian tengah di antara Akram Mahinan menentang Safuwan Baharudin untuk Pahang. Siapa yang mampu menang dalam perebutan itu boleh menentukan siapa yang berkuasa dalam perlawanan ini.

3. Kelajuan Kpah Sherman dan kekuatan Dickson Nwaekaeme

Jika Pahang mempunyai penyerang yang berbadan sasa dan mampu membuli pertahanan dengan kekuatan fizikalnya, PKNS pula mempunyai Kpah Sherman yang mempunyai kelajuan serta berkerja keras untuk turut membantu rakan sepasukan menjaringkan gol. Itu lah yang ditunjukkan ketika PKNS membuka jaringan, apabila satu serangan balas pantas dari situasi sepakan sudut yang dimiliki Pahang digunakan sebaiknya oleh PKNS. Zarif Irfan menghantar bola kepada Kpah Sherman yang berlari dengan begitu laju menewaskan Faisal Rosli sebelum menghantar bola ke dalam kotak penalti Pahang di mana Chan Vathanaka berjaya menjaringkan gol menentang pasukan lamanya.

Bagi Pahang pula, Dickson menunjukkan kekuatannya apabila menjaringkan gol penyamaan untuk Pahang. Dickson biarpun dikawal ketat oleh Rodney Celvin telah menggunakan kekuatannya untuk mengatasi pemain pertahanan PKNS itu dan menyamakan kedudukan. Celvin tidak dapat melihat hantaran yang dibuat Sumareh kepada Dickson kerana perlu fokus kepada pemain Nigeria itu. Memang gagah ‘orang besi’ Pahang ini.

4. Ketiadaan Gurusamy mudahkan Tok Gajah mengamuk

Separuh masa pertama mungkin nampak seimbang, tetapi skrip berbeza berlaku di separuh masa kedua. Ketiadaan Gurusamy yang terpaksa keluar kerana tercedera seakan-akan membuka ruang untuk Pahang menguasai bola. Tiada tekanan di bahagian tengah sementara Akram Mahinan pula beraksi di bawah tahap sebenarnya. Ini memudahkan pemain Pahang saling bertukar hantaran dan terus mengasak kubu PKNS. Pahang banyak menyerang dari bahagian sayap terutamanya di sebelah kanan.

Kemasukan Saddil Ramdani menambahkan sengat di bahagian serangan Pahang dengan pemain pertahanan PKNS mulai keletihan. Situasi sepakan penjuru paling mendatangkan bahaya buat PKNS kerana pemain seperti Herold Goulon dapat naik ke atas. Hasilnya Pahang dapat mendahului perlawanan apabila hantaran lintang Saddil diserang oleh Herold berjaya mengelirukan pemain pertahanan dan Zarif Irfan di gawang PKNS. Keadaan kucar-kacir di depan gawang PKNS itu membuatkan Ze Love dapat menolak masuk bola ke gawang dengan begitu mudah.

5. Rumusan perlawanan

Konsistensi. Itu yang perlu diperbaiki oleh Datuk K. Rajagobal pada pasukannya. PKNS ketika beraksi di tahap terbaik cukup berbisa dan sukar dikawal terutamanya empat pemain import di bahagian serangan. Tetapi musim ini sudah beberapa kali termasuk perlawanan ini, mereka bermula dengan baik tetapi tidak dapat mengekalkannya. PKNS mempunyai pemain-pemain yang baik dan sebenarnya mampu menewaskan mana-mana pasukan ketika mereka berada di tahap terbaik seperti ditunjukkan ketika mereka menundukkan Selangor dahulu. Cari konsistensi itu dan baru PKNS mampu mencabar kedudukan teratas liga.

Bagi Pahang pula, mereka bangkit dengan baik untuk menang dalam perlawanan ini. Tetapi Dollah Salleh masih perlu mencari formula untuk membuatkan dua penyerangnya serasi. Ada beberapa kali Dickson terlalu mencuba sehingga merebut bola dari kaki rakan serangannya sendiri. Jika Dickson dan Ze Love dapat mencari keserasian itu, dengan dibantu pemain seperti Sumareh, Saddil Ramdani atau Norshahrul Idlan Talaha, mereka mampu bergandingan untuk menjaringkan lebih banyak gol.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *