Tiga pasukan Liga Malaysia diberikan amaran terakhir

SHAH ALAM: Tiga pasukan Liga Malaysia (Liga M) akan diberikan amaran terakhir oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan isu tunggakan gaji pemain yang masih membelenggu mereka.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan tiga pasukan berkenaan diberikan tempoh hingga 31 Januari ini untuk menyelesaikan tunggakan gaji atau membuat persetujuan bersama pemain mengenai kaedah bayaran yang akan digunakan.

Katanya, jika gagal berbuat demikian, pasukan terbabit akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata bagi Liga M musim ini.

“Jika sebelum 28 Februari tidak juga dibayar atau melanggar perjanjian bersama pemain, enam mata pula akan ditolak dan pada 30 Mac, kalau isu ini masih berlaku, pasukan itu akan dikeluarkan daripada liga.

“Maknanya, pasukan akan terkeluar dari semua pertandingan musim ini dan kalau mereka mahu kembali beraksi pada musim akan datang, pasukan itu perlu bermula dari bawah.

“Jika sebelum ini bermain di Liga Super, mereka akan mula di Liga Perdana.

“Mereka juga perlu selesaikan hutang. Penyelesaian bukan saja dari segi bayaran penuh, tapi juga dengan ada perjanjian bersama pemain termasuk bersetuju membuat bayaran secara ansuran,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pasukan termasuk Melaka United, PDRM, Pulau Pinang dan Kelantan dilaporkan berdepan masalah tunggakan gaji.

Namun, Stuart menjelaskan beliau hanya akan mendedahkan nama tiga pasukan itu dalam kenyataan rasmi FAM yang dijangka bakal dikeluarkan esok.