Tiga pasukan Liga M kemungkinan disingkirkan

Kuala Lumpur : Tiga pasukan Liga Malaysia (Liga M) iaitu PDRM FC, UiTM FC dan UKM FC berdepan kemungkinan disingkirkan ke saingan Liga Amatur musim depan seandainya gagal menyelesaikan proses penswastaan pada 30 September ini.

Dengan berbaki tujuh hari saja lagi, ketiga-tiga pasukan berkenaan disahkan masih di peringkat awal proses penswastaan dan tiada lanjutan tempoh akan diberikan kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, memaklumkan surat peringatan terakhir sudah pun dihantar kepada pasukan-pasukan ini, semalam.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, pasukan berkenaan tidak akan diterima untuk menyertai pertandingan kelab di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) jika layak, serta juga pertandingan domestik iaitu Liga Super dan Liga Perdana musim 2021.

“Ingin ditekankan di sini bawah tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 September tidak boleh dianjakkan lagi dan ia perlu diberi perhatian serta tindakan segera daripada pengurusan dan pegawai pasukan-pasukan ini bagi melengkapkan juga proses penswastaan FC ini.

“Dengan ini, FAM sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan dan pertolongan kepada mana-mana pasukan yang memerlukan supaya pada akhirnya, kita mahu melihat kesemua pasukan ini dapat melengkapkan juga penswastaan FC ini sebelum tarikh akhir,” katanya.

Sementara itu, 12 pasukan sudah pun berjaya melengkapkan penswastaan kelab bola sepak (FC) masing-masing yang turut merangkumi proses pemisahan dari persatuan bola sepak (FA) ke FC.

Pasukan terbabit adalah Johor Darul Ta’zim, Sarawak United FC, Petaling Jaya City FC, Armed Forces FC, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak.

Sementara Selangor, Kelantan dan Felda United FC ketika ini sudah dalam peringkat akhir proses manakala Pahang, Pulau Pinang dan Kedah pula dalam peringkat pertengahan proses.