Tidak Mustahil

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu mulakan langkah kanan dalam saingan Liga Super musim depan dengan memasang impian menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Piala Sultan Ahmad Shah atau Sumbangsih nanti.

Aidil berkata, walaupun dilihat agak sukar untuk berbuat demikian namun perkara terbabit tidak mustahil jika sudah bersedia dengan barisan pemain mantap nanti.

Beliau berkata, pertembungan buat kali keempat antara dua gergasi bola sepak tempatan itu diharap mampu memihak kepada Kedah selepas kali terakhir mereka menjuarai saingan itu pada 2017 selepas menewaskan lawan sama menerusi penentuan penalti.

Meskipun masih terlalu awal meletakkan harapan tinggi kepada perlawanan itu nanti, tetapi beliau tidak menafikan sudah menjadi impian setiap pasukan untuk cuba menewaskan pasukan hebat seperti JDT dan bakal bertembung sekali lagi pada tahun hadapan dalam saingan itu yang memberi seribu satu harapan buat Aidil dan pasukan untuk bersedia dengan lebih baik.

“Melihat kepada kalendar yang dikeluarkan oleh MFL, saya tengok kita ada banyak masa untuk mempersiapkan pasukan dengan lebih baik dan tempoh masa lebih dua bulan ini cukup untuk kita buat persiapan pra musim.

“Macam kita tahu, musim ini memang agak lewat sedikit untuk kita habiskan Liga Malaysia, tetapi dengan kalendar yang sudah keluar awal ketika ini, kita sudah boleh membayangkan sasaran awal khususnya dalam Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

“Saya rasa memang impian semua pasukan untuk tewaskan JDT, mereka pun sudah tiga kali memenangi trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan apabila sekali lagi Kedah akan menentang mereka, saya rasa sudah tiba masa untuk kita cuba menyaingi JDT.

“Tetapi macam mana pun, bukan kita hanya ingin fokus satu perlawanan itu sahaja, kerana apa yang penting adalah aksi konsisten selepas perlawanan berkenaan untuk Kedah cuba bertahan di kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super 2021”, katanya.

Kedah mengisi slot Piala Sultan Haji Ahmad Shah dengan status naib juara Liga Super 2020 selepas tiada pemenang Piala FA dan Piala Malaysia di mana kedua-dua kejohanan itu terpaksa dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Ketika ini, Aidil mahu barisan pemain mengambil peluang merehatkan fizikal dan minda secukupnya sebelum diberikan tugas untuk mempersiapkan diri daripada aspek kecergasan terlebih dahulu.