Tidak kenang budi

WARGA Bangladesh, Rayhan Kabir yang muncul dalam laporan 101 East Al Jazeera dengan pelbagai tohmahan dan dakwaan palsu mendakwa wujud diskriminasi dalam cara Malaysia mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing, dikatakan berada di negara ini sejak 2014 dan memiliki permit kerja dalam sektor pembinaan.

Sebelum ini tular profil media sosial milik lelaki berkenaan yang turut tertera pekerjaannya sebagai ketua pemasaran bagi sebuah syarikat produksi.

Syarikat produksi itu melalui satu kenyataan semalam bagaimanapun menafikan warga Bangladesh itu adalah kakitangan mereka.

Rayhan kini diburu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Kesalahan melanggar atau gagal memenuhi syarat pas atau permit mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Untuk rekod, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menetapkan Bangladesh sebagai satu salah negara sumber tenaga hanya dibenarkan untuk bekerja di sektor perkilangan, pembinaan, pertanian, perladangan, perlombongan serta pengkuarian dan perkhidmatan.

Bagi sektor perkhidmatan, KDN menyenaraikan tukang masak di restoran, pencucian dan pembersihan, bekerja di pulau peranginan, hotel, spa dan refleksologi, kedi golf dan pengendalian kargo di pelabuhan dan lapangan terbang.

Sektor pembikinan atau produksi filem bagaimanapun tidak disenaraikan sebagai salah satu sektor yang membenarkan warga Bangladesh diambil bekerja.

Sumber berkata, permit kerja dalam sektor pembinaan yang dimiliki Rayhan kini memasuki tahun ketiga di negara ini untuk bekerja dalam sektor pembinaan. Difahamkan, permit kerja bagi pekerja asing boleh dilanjutkan sehingga 13 tahun namun perlu diperbaharui setiap tahun.

Jabatan Imigresen Malaysia semalam meminta kerjasama orang awam untuk menjejak Rayhan Kabir, berusia 25 tahun dan dikesan di alamat terakhir di Sirhan Legacy, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Pengendali, wartawan bakal dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pengendali Al Jazeera dan wartawannya yang berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dokumentari agensi berita antarabangsa itu mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan akan dilakukan menurut beberapa peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

“Kita akan tengok dari sudut undang-undang selepas dia menjawab soalan-soalan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam selepas menghadiri perasmian Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid semalam mengesahkan polis sudah memulakan siasatan berhubung laporan itu dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.