tidak dibatalkan

Malaysian Football League (MFL) telah membuat keputusan untuk meminda tarikh saingan TM Piala Malaysia berikutan situasi semasa penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Dengan undian TM Piala Malaysia bakal diadakan pada 1 November 2020, sepak mula saingan TM Piala Malaysia yang pada awalnya dijadual pada 25-26 Oktober 2020 terpaksa dipinda ke tarikh baharu iaitu 6, 7 dan 8 November 2020.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dibuat selepas kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober ini.

Jelas Ghani lagi, perancangan jadual baharu TM Piala Malaysia 2020 telah mengambil kira perkara-perkara berkaitan termasuk tarikh-tarikh Liga Juara-Juara (ACL) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bermula 19 November 2020 sehingga 4 Disember 2020.

Tarikh sepak mula kejohanan tertua di Asia Tenggara itu berlangsung pada 6, 7 dan 8 November 2020 bermula dengan pusingan pertama 16 pasukan disusuli 12 dan 13 November 2020 (suku akhir), 17 November 2020 (separuh akhir) serta aksi final pada 22 November.

Sebagai rekod, pasukan yang layak beraksi di TM Piala Malaysia 2020 iaitu Selangor, PJ City FC, UiTM FC dan Kuala Lumpur berada dalam kawasan yang telah diisytihar zon merah dan menjalani PKPB di Lembah Klang sementara Sabah dan Kuching FA turut menjalani PKPB serta Prosedur Operasi Standard (SOP) di negeri masing-masing.

“Buat masa ini TM Piala Malaysia 2020 masih berada dalam perancangan untuk diteruskan.

“Pindaan tarikh ini adalah selari dengan saranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah menetapkan tiada sebarang aktiviti sukan berlangsung dalam situasi COVID-19 khususnya di kawasan atau negeri menjalani PKPB.

“Bagaimanapun, kita masih mempunyai masa yang cukup untuk meneruskan TM Piala Malaysia 2020 memandangkan format baharu tiada saingan peringkat kumpulan.

“Apa yang pasti, MFL akan sentiasa memantau perkembangan terkini mengenai situasi COVID-19 dengan berhubung dengan KBS dan KKM dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Sementara itu, Dato’ Ab Ghani Hassan mengesahkan MFL turut meminda tarikh perlawanan CIMB Liga Super di antara Sabah dengan UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam dan aksi Liga Premier di antara Kuala Lumpur menentang Kuching FA pada 31 Oktober 2020.

“Terdapat satu perlawanan CIMB Liga Super 2020 (Sabah dan UiTM FC) dan satu perlawanan Liga Premier (Kuala Lumpur dan Kuching FA) yang telah dijadualkan semula akibat isu COVID-19.

“Sebelum ini venue bagi perlawanan di antara Sabah melawan UiTM FC pada 10 Oktober 2020 di Stadium Likas, Kota Kinabalu namun terpaksa diubah selepas kawasan terbabit telah diisytihar sebagai zon merah dan telah menyebabkan PKPB dilaksanakan pada 12.01 tengah malam pada 13 Oktober sehingga 26 Oktober 2020.

“Apa yang pasti, perubahan kalendar ini akan menyaksikan setiap pasukan akan mempunyai tempoh rehat dan perjalanan di antara tiga dan empat hari. Saya berharap agar semua pemain dan pegawai terus mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) bagi memastikan keselamatan diri dan kelancaran saingan Liga Malaysia 2020,” katanya.