Tidak boleh dijadikan alasan

ALOR SETAR: Peny3rang Kedah, Kpah Sherman tetap akan menyertai Lang Merah ke Korea Selatan bagi menghadapi perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 bertemu FC Seoul malam esok, selepas masalah visanya diselesaikan semalam.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris, berkata peny3rang import dari Liberia itu dijangka tiba lewat sedikit kerana menaiki penerbangan berlainan daripada pasukan.

Bagaimanapun, pihaknya menyerahkan kepada Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak, untuk menyenaraikan pemain itu dalam kesebelasan utama Kedah atau sebaliknya.

“Kita akui memang ada isu visa beliau sebelum ini namun ianya sudah selesai, Kpah akan ke sana dan terpulang kepada Aidil Sharin untuk membenarkan beliau bermain atau tidak.

“Cuma kita risau penerbangannya mengambil masa sedikit, jika dia dapat bermain, Alhamdulilah. Jadi kita perlu lihat pada keadaan dia malam esok macam mana,” katanya ketika ditemui selepas program santai sarapan pagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan di sini, hari ini.

Mohd Asmirul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, berkata demikian ketika diminta mengulas kegagalan Sherman dan Khairul Helmi Johari menyertai pasukan itu ke Korea Selatan.

Katanya, beliau sangat yakin dengan keupayaan pasukan Kedah termasuk pemain simpanan yang mempunyai kelincahan hampir sama dengan pemain utama.

“Mereka (pemain gantian) mempunyai tahap hampir sama dengan pemain utama. Jadi saya percaya dan yakin bahawa kesebelasan utama ini akan mencatatkan kemenangan di Korea Selatan. Doa diperlukan dari rakyat Kedah dan seluruh rakyat Malaysia.

“Sebagai pemain profesional, perubahan cuaca tidak boleh dijadikan alasan dan mereka perlu bersiap sedia kepada segala kemungkinan tidak kira tempat, padang dan sebagainya,” katanya.

Sumber : BH