Tiada sebab untuk mengubah

Tiada sebab untuk mengubah venue aksi Piala Sumbangsih kerana ia milik juara Liga Super.

Perkara berkenaan ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan selepas wujud dakwaan segelintir pihak yang mempertikaikan status Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pasukan tuan rumah menjelang aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga-M) menentang Kedah pada 5 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim.

Katanya, tidak timbul isu ‘pilih bulu’ dalam menentukan hak tuan rumah kerana mekanisma pemilihan yang sama digunakan sejak bertahun lalu dengan gelanggang juara Liga Super diberi penghormatan memulakan liga.

Malah, aksi terbabit bukan semata-mata untuk merebut Piala Sumbangsih sebaliknya ia adalah perlawanan liga pertama bagi kedua-dua pasukan dengan pertemuan berikutnya akan berlangsung di tempat lawan pula.

“Kita dah lama guna kaedah ini. Juara Liga Super akan jadi tuan rumah kepada perlawanan pertama Liga Super yang turut mempertaruhkan Piala Sumbangsih. Kalau musim lalu JDT juara Liga Super, maka JDT lah akan jadi tuan rumah.

”Jika tahun ini JDT juara Liga Super lagi, tahun depan akan main di tempat mereka juga. Jadi kalau ada pasukan lain nak jadi tuan rumah Piala Sumbangsih, kena jadi juara Liga Super tahun ini supaya tahun depan boleh main tempat mereka,” katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, sejak pertama kali Piala Sumbangsih atau turut dikenali dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah dilangsungkan pada 1985, ia membabitkan pertemuan pembuka tirai liga dengan pasukan yang bergelar juara pada musim sebelumnya.

Juara liga utama akan menentang juara Piala Malaysia namun sekiranya pasukan sama menjuarai dua gelaran itu, ia akan diberikan pula kepada juara Piala FA.

Selangor muncul pasukan paling banyak memenangi piala berkenaan dengan lapan kali diikuti JDT sebanyak lima kali dan tiga kali buat Pahang, Kedah, Perak dan Kuala Lumpur.

Berdasarkan rekod enam perlawanan Piala Sumbangsih yang berlangsung di gelanggang JDT sejak 2015, skuad Harimau Selatan itu hanya sekali terpaksa menggigit jari pada 2017 selepas tewas 5-4 kepada Kedah menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar.

Untuk musim ini, JDT dan Kedah akan bertembung sekali lagi dan mungkinkah cerita 2017 mampu diulangi, sekali gus Helang Merah ‘membawa terbang’ Piala Sumbangsih ke negeri Jelapang Padi.