Tiada Pihak Hubungi

Walaupun khabar angin bertiup kencang tonggak Terengganu FC (TFC), Faisal Abdul Halim mahu disunting kelab luar negara, tiada perbincangan lanjut diteruskan membabitkan pengurusan skuad Penyu.

Situasi terbabit diakui Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh yang mendedahkan bahawa tiada pihak atau ejen mewakili pemain itu menghubungi beliau untuk berbincang mengenai tawaran membabitkan pasukan luar negara.

Ab Rasid berkata, pihak berkaitan seharusnya melakukan perbincangan bersama pengurusan TFC memandangkan pemain pasukan Harimau Malaya itu masih mempunyai baki kontrak bersama skuad Penyu.

Malah, katanya, jika terdapat pasukan lain mahu menyunting Faisal, beliau bersifat terbuka untuk melakukan perbincangan namun pihak berkenaan perlu menghormati segala terma yang terkandung dalam kontrak.

“Pemain itu masih ada kontrak dan majikan. Jika benar ada tawaran, berundinglah mengikut tatacara yang terkandung dalam kontrak,” katanya.

Selain Faisal, pemain Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi turut menarik minat kelab luar negara. Perkara berkenaan disahkan ejen kedua-dua pemain terbabit dari Estrada Sports Agency yang mengakui kelab dari Portugal dan Sepanyol mahu merisik dua pemain itu.