Tiada Kuota

PETALING JAYA: Persatuan Boalsepak Malaysia (FAM) menjelaskan tiada kuota khusus yang ditetapkan badan induk itu dalam proses pengambilan pemain naturalisasi.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menegaskan FAM hanya akan memberikan status naturalisasi kepada pemain yang benar-benar layak berdasarkan kajian terperinci oleh Jawatankuasa Program Naturalisasi.

Beliau berkata, semua pihak juga tidak perlu bimbang dengan isu pengambilan pemain naturalisasi kerana FAM tetap tidak akan menutup peluang pemain tempatan mewakili Harimau Malaya.

“Tiada kuota, had atau apa-apa nombor dan tak pernah dalam jawatankuasa membincangkan satu nombor seperti kita nak lima atau 10 pemain naturalisasi.

“Hanya yang dibincangkan adakah pemain itu mampu menyumbang untuk pasukan kebangsaan atau tidak. Kalau tiada kualiti, kita tak ambil,” kata Stuart.

“Walaupun mungkin pada 2021 atau 2022 kita ada pilihan 10 pemain (untuk diberi status naturalisasi), tidak bermakna kita tukar status 11 pemain.

“Kita tengok apa keperluan kepada pasukan kebangsaan, bukannya bila ada pilihan kita nak ambil semua. Pasukan ini tetap pasukan Malaysia, pemain tempatan akan diberi keutamaan dan hanya ada kelemahan yang akan dipertimbangkan.”

Berita mengenai pengambilan pemain naturalisasi kembali hangat diperkatakan selepas Liridon Krasniqi sah mendapat taraf kerakyatan Malaysia dan bakal menjadi pemain ‘import’ kedua Harimau Malaya selepas Mohamadou Sumareh.

Malah, menerusi laporan khas BH Sukan, Selasa lalu turut menyentuh impak mengenai kehadiran pemain naturalisasi termasuk adakah ia akan menutup ruang pemain tempatan menyarung jersi Harimau Malaya.

Mengulas lanjut, Stuart berkata semua pihak akan mendapat faedah sekiranya pasukan kebangsaan berada pada prestasi tertinggi.

“Kita akan membentuk satu sistem pembangunan liga bola sepak profesional yang lebih kukuh apabila prestasi pasukan kebangsaan berada pada tahap terbaik.

“Faedah ini akan dirasai semua dalam sistem bola sepak dan disebabkan satu atau dua tempat dalam pasukan kebangsaan diambil oleh pemain naturalisasi, tidak bermakna pemain tempatan tiada ruang bermain di dalam liga kita,” katanya.

Sumber : BH