Thanabalan ke Negeri Sembilan?

Seremban: Bekas peny3rang skuad Bawah 23 Tahun negara, N Thanabalan dijangka akan kembali menyertai skuad Negeri Sembilan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain berusia 24 tahun yang menganggotai skuad Kedah musim ini tetapi dipinjamkan kepada Perak II, mengakui ada keinginannya untuk kembali kepada skuad negeri asalnya musim depan.

“Memang ketika ini sedang memikirkan pasukan mana untuk saya sertai bagi menghadapi saingan musim depan kerana kontrak bersama Kedah bakal berakhir Disember ini, tetapi semuanya belum pasti kerana perbincangan masih di peringkat awal.

“Saya ada menerima tawaran daripada beberapa pasukan sama ada dari Liga Super mahupun Liga Perdana, tetapi masih dalam pertimbangan dan belum ada kata putus.

“Minat untuk kembali menyarung jersi Negeri Sembilan juga tidak terkecuali, tetapi saya sedang menunggu perkembangan terkini mengenai kedudukan ketua jurulatih pasukan itu bagi musim depan,” katanya yang sedang meraikan sambutan Deepavali di kediaman ibu bapanya di Taman Seremban Jaya, hari ini.

Thanabalan adalah antara beberapa pemain pelapis kebangsaan yang berjaya dilahirkan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menerusi program pembangunan bola sepak akar umbi.

Nama pemain kelahiran Rantau itu pernah menjadi sebutan peminat bola sepak tanah air pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 apabila menanduk masuk gol kemenangan Malaysia ketika menewaskan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir.

Thanabalan berkata, dia berazam untuk mendapatkan kembali kedudukan selaku peny3rang disegani dalam liga domestik itu, selepas reputasinya pada musim ini kurang menyerlah.

“Saya berharap dapat mempamerkan kebangkitan dan prestasi yang lebih baik dengan pasukan baharu pada musim depan.

“Pandemik Covid-19, jelas bukan saja mengganggu peluang pemain malah saingan liga itu sendiri,” katanya.

Mengenai sambutan Deepavali, dia akui suasana suram kerana tidak berpeluang bersama rakan-rakan kerana sekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya hanya meraikan Deepavali tahun ini bersama ibu dan bapa serta adik beradik di rumah di Taman Seremban Jaya,” katanya.