Thailand mampu membawa pulang tiga mata daripada Bukit Jalil

Nampaknya skuad Gajah Perang datang ke Malaysia dengan keyakinan yang tinggi.

Menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari Khamis ini, pendahulu Kumpulan G, Thailand begitu yakin bahawa mereka akan mendapat keputusan yang baik ketika menentang Malaysia.

Dalam satu laporan The Bangkok Post, rata-rata pemain skuad Thailand merasakan pasukan Thailand mampu membawa pulang tiga mata daripada Bukit Jalil.

“Kami sudah berlatih dengan baik dan faham taktik dengan lebih baik. Saya rasa kami akan bertambah baik.

“Saya jangkakan kami akan memungut enam mata daripada dua perlawanan ini, tetapi sekarang kami perlu dapatkan keputusan yang baik menentang Malaysia,” kata pemain tengah Thailand, Sarach Yooyen.

Bagi pemain tengah Buriram, Supachok Sarachat pula dia berharap mereka akan dapat memadam rekod buruk Gajah Perang di Bukit Jalil.

“Saya tidak pernah beraksi menentang Malaysia dan saya tidak menjangkakan perlawanan mudah pada hari Khamis, tetapi kami sudah bersedia.

“Kami tidak boleh memandang rendah pasukan tuan rumah, tetapi saya rasa kami boleh mengubah rekod lampau kami di tempat ini.”

Thailand mengungguli takhta Kumpulan G selepas berjaya menumbangkan Emiriah Arab Bersatu 2-1 di Bangkok pada bulan lalu. Selepas berdepan Malaysia, Thailand akan bertemu Vietnam di Hanoi pada 19 November nanti. Dalam pertemuan kedua-dua pasukan di Piala AFF Suzuki pada tahun lalu, Malaysia berjaya mengikat Thailand 0-0 di Bukit Jalil sebelum mencatatkan keputusan seri 2-2 di Bangkok.