TFC Tolak Tuah

Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menyifatkan pasukannya tidak bernasib baik untuk mengutip tiga mata penuh biarpun mendominasi permainan ketika terikat 0-0 dengan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Keputusan itu juga menyaksikan jurang mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin jauh dengan perbezaan lapan mata dengan skuad Harimau Selatan itu mengumpul 39 mata.

Bagaimanapun, bekas peny3rang Terengganu itu tetap gembira dengan persembahan keseluruhan anak buahnya yang banyak mencipta peluang walaupun mengakui skuad Sang Badak berjaya mengekang asakan pemainnya.

“Kita berpeluang untuk merakam kemenangan, tapi pemain melepaskan banyak peluang terhidang untuk menghasilkan jaringan terutama pada babak pertama termasuk satu peluang terkena palang gol.

“Tapi bagi saya pemain sudah memberikan aksi yang terbaik bermula pada babak pertama lagi walaupun keputusan tidak memihak kepada kita, jadi kita harapkan pemain bangkit dengan baki enam perlawanan lagi untuk menghuni di kedudukan terbaik liga,” katanya.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan pemain berpengaruh, Makan Konate yang mungkin merencatkan perancangan skuadnya sehingga jentera tengah dilihat tidak berfungsi seperti biasa, Nafuzi menafikan sebaliknya mengakui pemain yang menggalas tugas di posisi berkenaan, Sharin Sapien beraksi dengan baik.

“Ketiadaan Konate yang terpaksa dikorbankan kerana kuota bebas pemain import melebihi tiga pemain selepas membawa masuk pemain pertahanan Terengganu FC II, Argzim Redzovic bukan masalah utama pasukan, sebaliknya kita mempunyai banyak peluang, cuma bahagian penyudah tidak menemui jaringan.

“Pada babak kedua kita memerlukan rentak permainan yang lebih tinggi dan laju, mungkin keadaan fizikal pemain dengan jadual yang padat menyebabkan mereka kepenatan, tapi mereka sudah membuat yang terbaik cuma keputusan tidak menyebelahi kita,” katanya.

Selepas 16 perlawanan, skuad Penyu masih kekal menghuni di tangga kedua liga dengan mengutip 31 mata manakala skuad Sang Badak ketujuh dengan mengumpul 18 mata.