Terpaksa Mendaftarkan Pada Saat Akhir

BAGI menyelamatkan karier Luqman Hakim Shamsudin serta sentuhannya tidak ‘berkarat’, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) difahamkan terpaksa mendaftarkan nama peny3rang muda sensasi negara itu pada saat akhir sebelum jendela pemain ditutup Ahad lalu.

Menurut sumber, tindakan itu diambil ekoran ketidaktentuan pemergian Luqman ke Eropah yang sepatutnya menandatangani kontrak dengan kelab Liga Satu Belgium, KV Kortrijk untuk lima musim pada minggu lalu.

Bagaimanapun, ekoran penularan wa bak Covid-19, Luqman terpaksa menunggu lebih lama susulan sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan oleh kebanyakan negara termasuk Malaysia.

“Difahamkan nama Luqman disenaraikan dalam skuad Selangor II pada hari terakhir jendela pemain liga (Liga Malaysia) ditutup.

“Ini bermakna Luqman sekarang adalah pemain Selangor II dan bila liga mula balik, dia boleh beraksi untuk pasukan dalam Liga Perdana.

“Keputusan saat akhir ini sebab FAS tak mahu Luqman hilang minit permainan dan tak tahu lagi bila dia akan ke Belgium lagi. Tapi dengar-dengar, tawaran Selangor hanya untuk enam bulan saja, jadi lepas isu Covid-19 reda dia boleh pergi Eropah,” kata sumber berkenaan.

Sebagai rekod, Luqman sebelum ini ditawarkan kontrak untuk bermain dengan KV Kortrijk oleh pemilik kelab itu yang juga usahawan terkemuka dari Malaysia, Tan Sri Vincent Tan pada September lalu dan akan menyertai kelab itu pada bulan ini apabila usianya genap 18 tahun.

Mengikut perancangan dia akan terlebih dahulu menjalani latihan selama tiga bulan di Cardiff City bermula Disember lalu dan kemudiannya terbang ke Belgium namun isu-isu yang berlaku menyebabkan perancangan berkenaan terbantut.

Pertama dia gagal terbang ke Cardiff City kerana masalah visa (pada Disember 2019) dan kemudiannya disebabkan Covid-19 pada bulan lalu.

Pemain skuad B-19 negara yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu sebelum ini hanya menumpang menjalani latihan bersama pasukan Selangor II bagi mengekalkan tahap kecergasannya sebelum ke Belgium.