‘Terkejut, sukar nak terima’

KUALA TERENGGANU: Terkejut dan sukar untuk diterima. Itu reaksi penolong jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik ketika diminta mengulas kekalahan memalukan skuad Penyu di tangan pendatang baharu Liga Super, Petaling Jaya City FC (PJ City) 3-5, semalam.

Mohamad yang mengambil alih tugas ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim sebagai jurucakap menyifatkan kenyataan itu mempunyai asas kerana ketika pasukan itu di ambang kemenangan selepas mendahului 3-0, aksi tidak konsisten barisan pemain pada babak kedua mengundang padah.

“Kami memang terkejut dan tak boleh nak terima serta bayangkan macam mana kita mendahului dengan tiga gol pada babak pertama akhirnya pada babak kedua kita kena lima gol, kekalahan ini begitu pahit untuk ditelan ketika kami berada pada kedudukan selesa untuk mengutip mata penuh.

“Bagi saya jika dilihat dalam perlawanan itu, TFC hanya bermain bola pada 45 minit pertama manakala separuh masa kedua memang tidak ada pergerakan untuk kita menghasilkan jaringan, saya fikir kita boleh tambah gol lagi.

“Tetapi sebaliknya lawan pada awal babak kedua sudah menekan pemain kita menyebabkan kita banyak membuat kesilapan dan tertekan, daripada situlah kedudukan kita sentiasa berada dalam bahaya.

“Berikutan itu, dalam masa 12 minit saja mereka sudah menghasilkan tiga gol sekali gus menyamakan kedudukan sebelum berjaya meledak dua gol lagi,” kata Mohamad ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Mengulas lanjut, bekas pemain kebangsaan itu turut kecewa dengan sikap pemainnya yang mudah hilang bola dan hanya menjadi pemerhati serta tidak cepat menutup ruang sehingga membolehkan lawan bermaharajalela berdekatan kubu gol.

“Separuh masa kedua pemain kita sudah nampak tidak selesa dengan bola, mereka juga tidak bertindak cepat untuk menutup ruang apabila pemain lawan melakukan hantaran silang kerana lima gol yang mereka dapat itu banyak daripada hantaran itu selain beberapa kesilapan mudah yang tidak sepatutnya pemain kita lakukan.

“Faktor fizikal pemain lawan turut memberi kelebihan kepada pasukan itu selain kelemahan ketara kita di bahagian sayap terutama selepas pemain baharu, Nabil Ahmad Latpi dikeluarkan pada hujung babak pertama akibat kecederaan,” katanya yang menafikan `penyakit’ cepat puas hati menjadi punca kekalahan teruk pasukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *