Terima Tawaran Sertai Kelab Liga Malaysia

Pengurus kelab Liga Indonesia, Arema FC iaitu Ruddy Widodo mengakui terdapat tawaran daripada pasukan Liga Malaysia yang berminat untuk mendapatkan khidmat peny3rang prolifik pasukan itu, Dedik Setiawan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama pasukan dari Malaysia itu dan difahamkan ia merupakan sebuah kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super.

“Setaka ini, memang ada agen asing dari Malaysia yang berminat untuk dapatkan pemain kami. Dia adalah Dedik Setiawan.

“Sebelum dia cedera lagi, ada kelab dari Thailand dan Malaysia berminat untuk menandatangani pemain itu. Sudah tentu perlu ada perbincangan dengan pihak pengurusan jika ingin bawa dia ke luar negara,” katanya dipetik dalam bola.com

Namun begitu, Arema FC berat hati untuk melepaskan Dedik kerana beliau merupakan tonggak utama pasukan. Pemain yang berusia 26 tahun itu telah menjaringkan 7 gol serta 2 assist dalam 11 perlawanan Liga 1 musim 2019.

Kemudian, beliau mengalami kecederaan ligamen sekaligus tidak dapat beraksi sehingga akhir musim 2019.

“Kalau pun memang Dedik ke sana, dia kena pertimbangkan beberapa perkara. Bukan sahaja jarak perjalanan tetapi kebajikannya.

“Sia-sia sahaja terbang jauh-jauh ke Malaysia tetapi kebajikan tidak terjaga (isu tunggakan gaji). Dia sangat diperlukan dalam pasukan Arema. Jadi, mungkin kami tidak lepaskan,” katanya.

Difahamkan kontrak Dedik Setiawan bersama Arema FC akan berakhir pada bulan Februari 2021. Namun, kemungkinan Arema FC akan melanjutkan kontraknya untuk menghadapi saingan Liga 1 musim depan.