Terima Kasih TMJ

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mengembalikan semula insentif RM500,000 yang diberikan kerajaan negeri sebelum ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menjelaskan kerajaan negeri bersetuju memberikan insentif itu kepada JDT atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia pada 2 November lalu.

Beliau berkata, insentif berkenaan diberikan sebagai dorongan dan pemangkin di atas semangat serta komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan JDT hingga berjaya memenangi piala berprestij itu.

“Bagaimanapun, Tunku Ismail (Pemangku Raja Johor) berkenan untuk mengurniakan semula insentif ini kepada Kerajaan Negeri Johor, hari ini.

“Kurniaan semula ini adalah bagi menampung pembelian bot pengutip sampah untuk tujuan pembersihan sungai di Johor demi melestarikan alam sekitar dan mengatasi masalah penc3maran yang berlaku.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Johor menjunjung setinggi-tinggi kasih dan penghargaan di atas keprihatinan Tunku Ismail,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

JDT muncul juara Piala Malaysia selepas menundukkan Kedah 3-0 di pentas final dan ia adalah kali kedua kelab itu merangkul piala berprestij itu selepas 2017.