Terima kasih Irfan

Tonggak import, Sanjar Shaakhmedov, secara tidak sengaja berada dalam radar Terengganu FC (TFC) ketika Mohd Nafuzi Zain mengintai beberapa pemain lain di Tashkent, Uzbekistan.

Mengimbau peristiwa penghujung 2016 itu, Nafuzi berkata, kelibat Shaakhmedov kemudian dilihat lebih menonjol seterusnya memikat ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

TFC itu begitupun berputih mata gara-gara faktor kos sekaligus menyaksikan pemain tengah Uzbekistan itu berhijrah ke kelab Qatar, Al Sailiya SC, pada Januari 2017.

Sebaik musim 2018 tamat, Shaakhmedov ditemukan kembali dengan Nafuzi yang sekali lagi ke Tashkent membawa misi sama seperti dua tahun sebelum itu.

“Kredit wajar diberikan kepada Irfan kerana memilih pemain yang betul-betul berkualiti.

“Walaupun ada dua atau tiga pemain lain dalam senarai pendek, aksi dipamerkan Shaakhmedov paling mencuri tumpuan.

“Dia seorang pemain yang bijak di atas padang dan memiliki visi serta teknik sempurna sebagai pemain tengah.

“Pemilihan Irfan dibalas dengan aksi konsisten Shaakhmedov sejak saya menjadi penolong jurulatih lagi,” kata Nafuzi.