Terengganu FC sah Layak

Pembatalan saingan Piala Malaysia bagi musim ini seakan memberi tuah kepada Terengganu FC (TFC) apabila pasukan itu diberikan tiket ke kempen Piala AFC musim depan.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan bersama pengumuman pembatalan kejohanan tertua itu, hari ini.

Ab Ghani menjelaskan slot ke Piala AFC diberikan kepada TFC selaku pasukan yang menamatkan saingan Liga Super musim ini di tempat ketiga.

Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat khas juga memutuskan bahawa tempat ketiga Liga Super iaitu TFC akan mendapat slot Piala AFC 2021 selepas Piala Malaysia 2020 dibatalkan.

Tahun ini adalah detik cukup sukar buat bola sepak di mana banyak k3kangan dan halangan yang kita tempuhi tetapi saya berharap kita semua kekal patuhi SOP (prosedur operasi standard) serta harus bangkit untuk memvtuskan rantaian C0VID-19 dalam misi memastikan bola sepak tempatan kembali bernyawa.

Saya juga berharap pasukan yang sudah menamatkan kempen Liga Malaysia 2020 akan bersedia untuk persiapan musim 2021, katanya.

Terdahulu, Ab Ghani mengumumkan pembatalan saingan Piala Malaysia musim ini selepas kerajaan tidak membenarkan kejohanan itu dilangsungkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara, kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis.

Beliau menjelaskan keputusan itu terpaksa dilakukan kerana tidak boleh lagi menangguhkan kejohanan itu ke bulan lain selepas kontrak pemain secara amnya akan berakhir pada 30 November ini.