Telah Mencapai Kata Sepakat Dengan Persatuan Bola Sepak Qatar

Bulan lepas, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mencapai kata sepakat dengan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) bagi menganjurkan saingan AFC Champions League (ACL) zon timur di negara tersebut.

Perlawanan peringkat kumpulan hingga separuh akhir untuk zon timur itu akan kembali bersambung pada 18 November hingga 13 Disember ini melibatkan pasukan dari Malaysia, Jepun, Korea, China, dan Thailand.

Malah, AFC telah menyenaraikan 6 pemain muda daripada pasukan tersebut yang bakal menyinar dan memilih pemain yang paling menyerlah berdasarkan prestasi mereka dalam saingan liga domestik masing-masing.

Salah seorang daripada 6 pemain muda tersebut ialah pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid. Menurut AFC, prestasi pemain tersebut ketika mewakili skuad kebangsaan menjadi faktor kenapa Akhyar dilihat sebagai antara pemain muda yang sedang meningkat naik di Asia.

“Salah satu bintang bola sepak Malaysia yang sedang meningkat naik, Akhyar Rashid baru berusia 21 tahun tetapi telah mewakili negaranya lebih 20 kali dan memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat kelab.

“Sebagai peny3rang yang berbakat, anak kelahiran Kedah itu merupakan sebahagian daripada skuad Malaysia di final Piala AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) 2018 sebelum menyertai Johor Darul Ta’zim,” kata kenyataan daripada AFC.

Selain Akhyar, 5 pemain lain yang turut menjadi tumpuan ialah Won Du-jae (Ulsan Hyundai), Ekanit Panya (Chiangrai United), Shuto Abe (FC Tokyo), Trent Buhagiar (Sydney FC) dan Chen Wei (Shanghai SIPG).

Ketiadaan Safawi Rasid yang menyertai kelab Portugal, Portimonense SC telah membuka peluang kepada Akhyar untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam saingan AFC Champions League.

Para peminat bola sepak di Asia diberi pilihan untuk mengundi pemain muda yang bakal menyerlah diantara 6 pemain tersebut. AFC dijangka akan mengumumkan keputusan undian pada hari Selasa (17 November 2020).

Anda boleh mengundi melalui laman web AFC di sini, the-afc.com