Tarikh Aksi Kedah-Sabah Ditukar

KUALA LUMPUR: Aksi Liga Super membabitkan Kedah dan Sabah yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Aman, Sabtu ini terpaksa ditukar ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Isnin ini.

Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang memaklumkan pertukaran itu dibuat susulan perkembangan terkini di kawasan terbabit yang menyaksikan Daerah Kota Setar berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

Jelas Ghani, pindaan itu dilakukan selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai PKPD Daerah Kota Setar yang berkuatkuasa dari 11 September hingga 25 September ini.

“MFL sudah menerima permohonan rasmi daripada pasukan Kedah mengenai permohonan pindaan tarikh dan venue bagi perlawanan terbabit kerana Stadium Darul Aman yang berada dalam Daerah Kota Setar dikenakan PKPD.

“MFL memutuskan aksi terbabit dipinda kepada 21 September dan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur selepas mendapat persetujuan bersama daripada kedua-dua pasukan.

“Pindaan perlawanan juga dibuat selepas mengambil kira segala aspek seperti penyiar rasmi, komersial MFL serta pihak media. Pindaan ini tidak membabitkan perlawanan lain seperti yang sudah dijadualkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani turut memuji reaksi pos!tif Sabah yang bersetuju untuk menerima pindaan tarikh dan venue ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan Sabah di atas semangat setiakawan dan memahami detik su kar yang dialami pasukan Kedah.

“Inilah satu contoh yang cukup baik kepada Liga Malaysia (Liga M) dan saya berharap semua pasukan dapat bersatu dalam usaha membasmi pandemik COVID-19,” katanya.