Pasukan Liga Malaysia Rancang Tamatkan Kontrak Pemain

Beberapa pasukan Liga Malaysia dilaporkan akan menamatkan kontrak pemain import lebih awal bagi mengurangkan beban kewangan pasukan yang terkesan dengan penangguhan liga akibat wabak COVID-19.

Sumber Arena Metro melaporkan beberapa pasukan sudah merancang untuk mengurangkan perbelanjaan pasukan dengan menggugurkan beberapa pemain import walaupun mereka beraksi dengan cemerlang.

“Ia turut melibatkan pasukan pasukan bertaraf gergasi apabila mereka berusaha mencari kesepakatan dalam pembayaran pampasan kepada pemain import supaya dapat dilepaskan awal,” kata laporan tersebut.

“Setakat ini, rata-rata pasukan Liga Super memiliki sekurang-kurangnya empat pemain import yang dibayar gaji purata minimum kira-kira RM20,000 sebulan.”

Ejen bolasepak, Effendi Jagan Abdullah berpandangan tindakan melepaskan pemain import adalah antara cara terbaik untuk menjimatkan perbelanjaan pasukan yang berbelanja antara RM20,000 hingga RM50,000 sebulan untuk setiap pemain import.

“Saya menjangkakan nasib pemain import di negara ini agak malang, kemungkinan kontrak mereka tidak akan disambung lagi berikutan setiap pasukan mahu menjimatkan pembelanjaan masing-masing.

“Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana lebih baik menggugurkan pemain untuk menjimatkan perbelanjaan daripada menanggung bebanan hutang hingga gaji tertunggak.

“Oleh itu, senario bola sepak negara bakal menyaksikan kekurangan pemain import terutama pada musim hadapan dan mungkin ada pasukan tidak menggunakan khidmat mereka bagi memulihkan kembali kantung masing-masing.”