Pasukan Terbabit Akhirnya Boleh Tersenyum Apabila Diberikan ‘Talian Hayat’

KETIKA Melaka diambang pemotongan enam mata akibat kegagalan membayar tunggakan gaji 2019 sebelum 30 April lalu, pasukan terbabit akhirnya boleh tersenyum sementara apabila diberikan ‘talian hayat’ dengan tempoh pembayaran dilanjutkan sehingga tempoh Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

‘Talian hayat’ yang diberikan menerusi mesyuarat Pelesenan Kelab (FIB) itu jelas sekali memberi kelegaan kepada pasukan berkenaan yang sebelum ini dikenakan pemotongan tiga mata akibat kegagalan menjelaskan hutang 2019.

Kelonggaran terbabit yang diputuskan FIB berdasarkan situasi semasa akibat penularan Covid-19, sekali gus menyukarkan pihak Persatuan Bolasepak Melaka (Musa) menjelaskan hutang mereka.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, FIB memutuskan menangguh pembayaran tunggakan gaji terbabit sehingga ke tarikh yang akan diumumkan nanti.

Beliau berkata, pihaknya perlu mempertimbangkan kesukaran melanda Musa ketika situasi PKP yang menyukarkan mereka membuat pembayaran hutang terbabit.

“FAM memahami masalah yang melanda Musa dan ketika ini tarikh akhir yang sepatutnya berakhir 30 April lalu dilanjutkan bergantung kepada situasi semasa. Melaka sudah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata akibat gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan pasukan terbabit menerima tamparan hebat apabila FAM memutuskan pemotongan tiga mata ke atas skuad Hang Tuah serta merta.

Keputusan pemotongan mata itu diputuskan FIB yang dipengerusikan Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara teleconferencing bersama ahli jawatankuasa yang lain selepas mendapati Melaka gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

Sementara itu, menurut sumber Musa berkata, setakat ini pengurusan belum membuat sebarang pembayaran tunggakan gaji terbabit walaupun sudah diberikan kelonggaran oleh FIB.

“Pengurusan masih lagi ‘berdiam diri’ berkaitan isu tunggakan itu malah dua bulan gaji kami juga belum dibayar hingga sekarang,” katanya.