Taktik ‘licik’ JDT

Taktik ‘licik’ Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan menghantar beberapa pemain mereka berguru di luar negara tampak memberi hasil positif.

Sebelum ini, ramai menganggap kepulangan semula Safawi Rasid yang mana lebih awal dari tempoh pinjamannya selama semusim ke Portimonense sebagai satu kegagalan.

Namun, pemain sayap JDT itu berjaya membuktikan bahawa dia mendapat sesuatu yang berguna di Portugal menerusi persembahan cemerlangnya ketika aksi Piala Sultan Ahmad Shah, Jumaat lalu.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar percaya walaupun tidak mendapat peluang beraksi dalam liga utama Portugal bersama Portimonense, Safawi mendapat pendedahan latihan yang mematangkan lagi permainannya.

JDT ini pandai, mereka menghantar pemain mereka untuk mendapat pengalaman bermain di luar (negara). Seperti Safawi, dia balik bukan menunjukkan dia gagal, dia balik dengan membawa kematangan ke dalam pasukan JDT.

Dia sudah dapat tengok apa yang berlaku di sana (Portugal), bagaimana nak naikkan tahap dia. Malah, dia juga antara pemain terbaik di Malaysia dan mendapat pula latihan di Portugal.

Walaupun tak dapat bermain, tapi kita tak boleh nak keji atau kutuk dia. Pada saya, JDT hantar dia ke sana untuk menaikkan kebolehan dia sendiri.

“JDT sebenarnya mendapat sesuatu yang berharga di atas pemergian Safawi ke sana. Safawi jadi lebih matang dan kematangan itu akan beri banyak kelebihan kepada rakan dalam pasukan,” katanya kepada BH Sukan.

Safawi berjaya menyumbang satu gol ketika membantu JDT merangkul kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Malah, jaringannya pada minit ke-35 membolehkan dia menjadi pemain sulung yang mel3dak gol bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Selain Safawi, JDT turut meminjamkan dua lagi pemainnya, Liridon Krasniqi dan bintang import muda dari Indonesia, Syahrian Abimanyu kepada kelab Australia, Newcastle Jets.