Tak Pernah Fikir Tarik Diri

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak pernah memikirkan menarik diri daripada saingan Liga Perdana musim ini meskipun bergelut dengan isu kewangan ketika COVID-19.

Selepas hasrat mereka yang mengharapkan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dibatalkan kerana pandemik itu tidak kesampaian, Setiausaha Agungnya, Husin Deraman menegaskan persatuan itu tetap bersedia meneruskan baki saingan musim ini.

“Apa sahaja keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), kita perlu akur. Kalau mereka suruh kita main, kita akan main seperti biasa dan begitu juga kalau ia dibatalkan.

“Kita akan teruskan juga saingan walaupun kita tidak begitu gembira jika terpaksa beraksi tanpa penyokong selepas ini. Semua pun tahu bagaimana sokongan penyokong Kelantan kepada pasukan setiap kali menyaksikan perlawanan.

“Bukan setakat tidak dapat menjana pendapatan dengan kutipan tiket tetapi turut merisaukan saya kalau pemain bermain tanpa penyokong mereka.

Apapun, dalam tempoh empat bulan ini, kita optimis dapat terus hidup dan kita akan berikhtiar sehabis baik untuk penuhi tanggungjawab kita,” katanya.

Terdahulu, MFL mengumumkan menyambung kembali saingan domestik pada September depan.

Menerusi satu kenyataan Jumaat lalu, saingan Liga Super serta Liga Perdana akan bermula kembali pada 1 dan 2 September dengan saingan itu akan berakhir pada 26 dan 27 September membabitkan format separuh liga sahaja.

Tertakluk kepada arahan kerajaan, saingan Piala Malaysia juga akan dilangsungkan pada 17 dan 18 Oktober sebelum berakhir pada 7 November membabitkan format kalah mati tanpa perlawanan peringkat kumpulan manakala Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.