Tak Malu Lah

KESEDIAAN beberapa tonggak warisan yang berpangkalan di luar negara untuk menyarung jersi skuad Malaysia menandakan transformasi pasukan kebangsaan kini berada pada landasan tepat.

Malah, pengenalan Peta Hala Tuju Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau F:30 yang diperkenalkan pada 2018 itu selain keterbukaan untuk menerima pemain bertaraf naturalisasi dilihat berjaya menambat hati pemain warisan berkenaan untuk pulang ke tanah air.

Aksi konsisten skuad negara di bawah kendalian Tan Cheng Hoe juga menceritakan masih ada sinar di hujung terowong buat pasukan Malaysia menyinar di peringkat antarabangsa.

Jelas Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang diamanahkan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin untuk mencari dan menilai pemain naturalisasi atau warisan bagi diserapkan ke dalam pasukan negara, di peringkat awal bukan mudah meyakinkan mereka.

Namun sejak perubahan beberapa polisi ditambah aksi memikat skuad kebangsaan pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, ia nyata membawa seribu rahmat apabila ramai pemain warisan mula menghubungi FAM.

Katanya, kesediaan pemain seperti Marcel Kalonda, Harry Edge, Kobe Chong, Dion Cools dan terbaharu Samuel Bone membuktikan skuad Malaysia kini semakin mendapat perhatian.

Kita nampak satu gel0mbang baharu dalam bola sepak negara, lantaran mereka (pemain warisan) melihat bola sepak Malaysia ini sudah ada pada tahap meyakinkan.

Tentu sekali pemain luar ini akan membuat kajian mengenai pasukan negara, kalau menjadi pasukan belasahan saya ingat mereka pun tak mahu tawarkan diri. Sudah tentu prestasi meningkat pasukan kebangsaan berjaya menggamit atau menarik minat pemain ini untuk mewakili Malaysa…senang cakap tak malulah kalau mewakili Malaysia.

Ia sebenarnya perkembangan sihat dan saya yakin kita berada pada peringkat atau jalan yang betul untuk mengubah wajah bola sepak negara, katanya kepada Arena Metro.