Tahniah Syafiq Ahmad

Striker muda JDT, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, menyambut kelahiran anak kedua hari ini.Isterinya, Nor Amalina Norain, 25, selamat melahirkan bayi lelaki secara normal pada jam 2.05 petang di Hospital Pakar KPJ Puteri di Johor Bahru.

Kehadiran bayi seberat 2.74 kilogram itu melengkapkan seri keluarga striker kelahiran Pulau Pinang itu yang sebelum ini dikurniakan anak perempuan, Aaira Nur Safiyya yang kini berusia 2 tahun 3 bulan.

Syukur, Alhamdulillah semuanya selamat. Ikutkan tarikh jangkaan ialah 10 Disember depan. Memang tak jangka bersalin seawal ini.

Istimewanya, jika dulu kakaknya (anak pertama) lahir pada Hari Raya Aidiladha, adiknya pula lahir ketika sambutan perayaan Deepavali hari ini. Kedua-duanya jatuh hari cuti umum, katanya di sini hari ini.

Nor Amalina berkata, kedua-dua kelahiran anaknya disambut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Laila Shikh A Rahman.

Pasangan itu turut menerima kerusi keselamatan bayi daripada pengurusan KPJ Puteri bersempena program Bayi Merdeka yang dilancarkan pada 29 Ogos lalu.