‘tabik spring’ kepada Johor Darul Ta’zim (JDT)

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengakui berpuas hati dan mengucapkan tahniah kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mempamerkan satu standard protokol pengurusan penonton yang cukup baik dan sistematik.

Malah, beliau turut menggangkat ‘tabik spring’ kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menguruskan pengurusan kemasukan penonton dengan lancar pada aksi Liga Super antara JDT dan Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

“Saya tabik pengurusan JDT yang mengambil ‘extra miles’ dengan menambah kawalan marshal perlawanan selain penglibatan KBS Sports Bubble Volunteers.

“Paling menyentuh hati saya apabila dapat bersua dengan sebahagian penonton terutamanya ‘Boys of Straits’. Betul-betul terubat rindu apabila dapat mendengar sorakan dan chant mereka untuk pasukan kesayangan, JDT. ‘You guys really rock!’.

“Terima kasih pemain ke-12! Anda dapat mempamerkan semangat penonton norma baharu yang baik. Saya yakin, kaedah pengurusan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pemain ke-12 ini boleh menjadi tanda aras dan template untuk pasukan dan penonton pasukan lain.

“Saya dan pasukan KBS juga ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tunku Mahkota Johor atas kerjasama pengurusan JDT yang meletakkan satu tanda aras yang cukup tinggi dalam penganjuran perlawanan dengan penonton ini,” katanya di laman sosial miliknya.

Untuk rekod, aksi JDT menentang Melaka United menjadi perlawanan pertama yang membenarkan 2,000 penyokong hadir dan masuk ke dalam stadium selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

Sebelum ini, MFL mengumumkan Stadium Sultan Ibrahim dipilih sebagai gelanggang pertama untuk membenarkan kemasukan penyokong dalam skala kecil bagi menyaksikan perlawanan saingan liga.