‘tinggalkan’ Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh mengakui tidak sabar untuk beraksi bersama kelab Thailand, Police Tero FC selepas dia berlepas ke negara jiran itu, hari ini.

Bagaimanapun pemain kelahiran Gambia itu akan menjalani tempoh kuarantin di hotel di Bangkok terlebih dahulu sebelum menyertai pasukan yang turut diwakili pemain muda negara, Dominic Tan.

“Akhirnya, saya akan melakukan apa yang terbaik yang sudah lama saya lakukan iaitu bermain bola sepak, jadi ia sangat menggembirakan saya.

“Saya diberi peluang oleh Police Tero FC, yang bertindak pantas, dan membuktikan mereka benar-benar mahukan saya dengan berusaha sedaya upaya untuk membawa saya ke sana.

“Saya rasa keputusan yang saya buat lebih mudah kerana Dominic ada di sana. Kami pernah bermain bersama dalam pasukan kebangsaan dan kami sangat rapat.

“Memiliki pemain pasukan kebangsaan Malaysia dalam pasukan yang sama akan menjadi lebih mudah, jadi saya mempunyai seseorang yang saya kenal dan lebih senang untuk saya menyesuaikan diri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pemain berusia 26 tahun itu mengakui perlu bekerja keras untuk menyesuaikan diri dengan liga di luar negara selepas hanya beraksi dalam Liga Malaysia sejak 2013.

“Kami beraksi menentang mereka (Thailand) untuk pasukan kebangsaan, mereka mempunyai pemain berkualiti terutama dengan corak permainan tiki-taka. Thailand juga mempunyai kualiti padang yang cantik dan sebab itu bola sepak mereka sangat baik.

“Ia tempat yang baik untuk pemain Malaysia cuba dan dapatkan pengalaman. Tapi saya gembira kerana ini kali pertama saya keluar dari Malaysia untuk beraksi dalam liga berbeza,” katanya.