Sumareh terkejut

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh mengakui dia terkejut dengan sokongan padu yang diberikan oleh penyokong Thailand selepas menyertai pasukan Liga 1 Thailand, Police Tero.

Justeru, bekas pemain sayap Pahang itu mahu menjadikan sambutan hangat yang diterimanya sebagai sumber kekuatan untuk memb@kar semangat bagi memberikan persembahan terbaik bersama pasukan berpangkalan di Bangkok itu.

“Sejujurnya, saya jangkakan hanya penyokong Police Tero yang mahu melihat saya beraksi bersama pasukan ini. Namun saya tidak menyangka media Thailand dan juga penyokong lain di negara ini pun teruja juga dengan kehadiran saya di sini.

“Sudah tentu saya menghargai sokongan yang diberikan oleh mereka dan ini membuatkan saya mahu terus bekerja keras untuk menggembirakan penyokong,” katanya.

Dalam masa sama, pemain kelahiran Gambia itu turut gembira apabila bertemu beberapa pemain Thailand yang pernah ‘berkongsi padang’ dengannya ketika beraksi dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 sebelum ini.

“Beberapa pemain Police Tero mengenali saya kerana mereka pernah beraksi menentang Malaysia sebelum ini. Mereka pun memahami situasi saya memandangkan sudah lama saya tidak menjalani latihan.

“Ketika ini, saya giat mengikuti program kecergasan yang dijalankan oleh pasukan. Mereka pun tidak terlalu memberi tekanan kepada saya jadi apabila saya bersedia sepenuhnya nanti, saya akan memberikan yang terbaik,” katanya.

Sebagai rekod, tiga pemain Thailand yang beraksi bersama Police Tero adalah Pathompol Charoenrattanapirom, Kanokpon Buspakom dan Arthit Boodjinda.