sukar untuk diterima Kedah

Gol penyamaan oleh Tchetche Kipre pada minit-minit akhir permainan menyebabkan Kedah hanya membawa pulang satu mata daripada aksi ke-20 Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Penolong jurulatih, Victor Andrag mengakui ianya satu perkara yang mengecewakan namun beliau tetap memberikan pujian kepada anak buahnya kerana cuba menjinakkan Terengganu FC yang ‘mengganas’ walaupun terpaksa bermain dengan sepuluh orang pemain selepas Azmeer Yusof dilayangkan kad merah.

“Sukar untuk diterima.

“Apapun pujian kepada pemain-pemain, 20 minit terakhir kita bermain 10 orang, kita cuba bertahan, kita cuba lakukan sebaik mungkin tetapi inilah bola sepak, apa-apa pun boleh terjadi.” katanya memberikan reaksi terhadap keputusan akhir 2-2 dalam sidang media, semalam.

Pada babak pertama, skuad Helang Merah dilihat mendominasi permainan dengan baik. Malah, jaringan yang dilakukan oleh Shakir Hamzah seawal minit ke-4 permainan memberikan mereka motivasi tambahan di atas padang.

Namun, apabila Azamuddin Akil terpaksa dikeluarkan kerana mendapat kecederan pada babak pertama, Kedah mula menampakkan kekurangan terutamanya di bahagian serangan. Ketiadaan tiga pemain utama mereka, Ifwat Akmal, Rizal Ghazali dan Jonathan Bauman juga sedikit sebanyak mempengaruhi aksi mereka.

“Setelah Alex mendapat kecederaan hamstring, bahagian serangan sedikit sebanyak nampak kekurangan, jadi kita terpaksa ubah perancangan kita. Ditambah pula tanpa 3 pemain utama kita, namun saya rasa pemain-pemain yang diberikan peluang ini cuba membuat sesuatu untuk pasukan.” katanya lagi.

Beliau tampak berpuas hati dengan dua jaringan gol menerusi situasi bola mati oleh pemain-pemain Kedah. Tetapi, pada babak kedua, satu lagi keputusan berat terpaksa dibuat iaitu mengeluarkan Edgar Bernhardt dan memasukkan Alif Yusof supaya dapat meneutralkan ancaman daripada bahagian kanan Terengganu FC.

sumber: foxsports

Kemasukan Alif juga membolehkan Kedah bertahan dengan baik. Namun, satu hantaran lintang daripada Malik Mat Ariff pada minit ke-93 berjaya ditanduk masuk oleh Tchetche Kipre memusnahkan hasrat Helang Merah untuk mengutip tiga mata penuh.

“Kita fokus kepada pelbagai perkara termasuk dengan ‘set pieces’, nampak menjadi juga ‘set pieces’ kita dengan dua gol dijaringkan. Nampak positif.

“Apabila Azmeer dikenakan kad merah, saya terpaksa mengubah perancangan kita, saya masukkan seorang lagi bek kiri. Saya tahu memang kekuatan Terengganu memang banyak menyerang di sebelah kanan mereka, kita cuba mengatastinya.

“Pujian juga harus diberikan kepada pemain-pemain Terengganu yang tidak serik untuk menyerang bertubi-tubi ke arah gol kita sehingga dia dapat gol penyamaan.” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *