Status rakan sepasukan Aubameyang bukan jaminan

Baru-baru ini, Felda United FC mengesahkan menandatangani pemain skuad antarabangsa Gabon, Frederic Bulot sekaligus melengkapkan kuota lima pemain import untuk mengharungi saingan Liga Super 2020.

Pemain berusia 30 tahun hadir dengan status rakan sepasukan antara pengg3mpur handalan dunia, Pierre-Emerick Aubameyang yang juga merupakan pengg3mpur utama Arsenal.

Kedua-dua Bulot dan Aubameyang pemain kesebelasan utama pasukan sehingga ke hari ini. Malah, ranking skuad kebangsaannya juga berada dalam kalangan 100 terbaik iaitu di kedudukan ke-83 dunia.

Namun, bagi Bulot yang merupakan bekas pemain Liga Jepun, FC Gifu, dia tidak melihat status itu sebagai jaminan dirinya bakal cemerlang bersama skuad The Fighters. 

“Bola sepak merupakan gabungan di antara keseluruhan pasukan dan individu. 

“Kami perlu buktikan kemampuan bersama pasukan dan ia juga bagus untuk pasukan ini terus berkembang,” kata Bulot seperti dipetik daripada Stadium Astro.

Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil turut senada dengan pemain yang pernah beraksi bersama skuad remaja Perancis suatu masa dahulu itu.

Walaupun hadir dengan status dan reputasi rakan sepasukan Aubameyang, jurulatih muda itu mahu pemain-pemain lain membantu Bulot untuk menyesuaikan diri di sini sekaligus memberikan kebaikan kepada pasukan menjelang sepak mula Liga Super pada 28hb februari kelak.

“(Selalunya) apabila seorang pemain yang mempunyai repustasi sepertinya datang, maka kami menjangkakan dia akan melakukan segala-galanya. 

“Tetapi di Malaysia, ada pemain import yang hadir dengan reputasi yang baik (tetapi gagal menyerlah) kerana bola sepak di sini berbeza. 

“Saya harap pemain tempatan dan import yang lain boleh membantunya untuk menyesuaikan diri,” kata Nidzam.