status berdarah campuran bukan satu kelebihan

Pemain pertahanan Terengganu FC, Stuart Wark mengakui dia perlu bekerja keras terutamanya di dalam meningkatkan tahap kecergasan dalam usaha merebut tempat di dalam kesebelasan utama.

Dia tidak menganggap statusnya sebagai pemain berdarah campuran Scotland-Malaysia serta pengalaman luas bermain di Scotland dan kemudiannya lima pasukan Liga Malaysia sebelum ini termasuklah Felda United, Pulau Pinang dan PDRM sebagai satu kelebihan.

Sebaliknya pemain berusia 31 tahun itu yakin dia hanya boleh memenangi kepercayaan ketua jurulatih Nafuzi Zain jika menunjukkan sesuatu yang jauh lebih baik berbanding pemain lain sepanjang berlangsungnya pra-musim.

“Sejujurnya masih banyak yang perlu saya lakukan. Ketika saya menyertai pasukan, mereka sudah beberapa minggu menjalani latihan, malah pemain-pemain juga rata-ratanya sudah mengenali satu sama lain, ada juga yang sudah beberapa musim bermain bersama. Jadi saya ketinggalan terlalu banyak dan perlu buat lebih lagi agar tidak sekadar menjadi pelengkap dalam pasukan.

“Saya harap boleh dapat lebih banyak minit bermain dalam aksi pra musim dan tingkatkan kecergasan serta persefahaman bersama rakan sepasukan sebelum liga bermula,” ujar Stuart Wark.

Sebagai rekod, Stuart Wark menyertai skuad ‘revolusi’ Terengganu FC yang membuat rombakan besar bagi musim 2020 dengan merekrut ramai pemain baru, antara lain Faiz Nasir, Nasir Basharudin, D.Saarvindran serta empat pemain import.

Dia memulakan kariernya di Malaysia pada 2015 dengan menyertai Johor Darul Takzim II sebelum berhijrah ke Sabah (2016), Felda United (2017/2018) serta Pulau Pinang dan kemudiannya PDRM pada 2019.