Stadium Bunga Teratai

LONDON: Guangzhou Evergrande sudah memulakan pembinaan stadium yang menelan kos sehingga 1.36 bilion pound (RM7.41 bilion) yang dijangka dibuka pada 2022.

Stadium dengan kapasiti 100,000 tempat duduk itu akan menjadi antara stadium bola sepak terbesar dunia dan direka dengan bentuk bunga teratai.

Reka bentuk itu diinspirasikan daripada Guangzhou sendiri yang terkenal dengan julukan ‘Bandar Bunga China.’

Menerusi gambar terbaharu yang disebarkan, reka bentuk luaran memaparkan warna jingga manakala bahagian dalam pula menunjukkan gambar dan keputusan perlawanan yang dipancarkan ke bahagian siling dalaman.

Namun, susun atur tempat duduk tampak tidak begitu jauh berbeza kerana ia seakan stadium baharu Tottenham dan Stadium Emirates.

Pada majlis pelancaran baru-baru ini, Presiden Agensi Hartanah Evergrande, Xia Hiajun berkata ‘Stadium Evergrande akan menjadi mercu tanda berkelas dunia yang baharu setanding dengan Sydney Opera House dan Burj Khalifa di Dubai.

“Ia juga akan menjadi simbol penting buat bola sepak China kepada dunia.”

Pada 2019, purata kedatangan Evergrande di laman sendiri bagi aksi Liga Super China (CSL) adalah 46,000.

Nou Camp kekal menjadi stadium terbesar dengan kapasiti 99,000 namun skuad Catalan itu akan melakukan pengubahsuaian bagi meningkatkan kapasiti kepada 105,000.

Stadium FNB di Johannesburg, Afrika Selatan memiliki 94,700 kapasiti sementara Stadium Wembley dengan 90,000 tempat duduk. – Agensi