Siapa yang bohong ?

KUALA LUMPUR: Peny3rang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha mendakwa kenyataan balas yang dikeluarkan ejennya, Abdul Halim Abdul Shukor adalah bohong terutama dalam dua isu yang cuba dibangkitkan oleh Pengarah Urusan Offside Sports itu.

Abdul Halim dalam satu kenyataan, semalam menyatakan bahawa dia bukan menghilangkan diri, sebaliknya tidak mahu memberikan komen kerana terdapat kes yang belum selesai antara dirinya, ejen Thailand dari Pro24 Agency, kelab BG Pathum United dan Persatuan Bolasepak Thailand (FAT).

Malah Abdul Halim mendakwa yuran ejen juga masih belum diterimanya daripada BG Pathum United, kelab yang sedang diwakili Norshahrul itu sehingga sekarang.

Norshahrul atau Mat Yo bagaimanapun menganggap dakwaan itu sebagai cubaan Abdul Halim untuk mengalihkan isu utama iaitu mengapa beliau menghilangkan diri dan tidak dapat dihubunginya bagi mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat ketika situasi sukar akibat pandemik COVID-19.

“Beliau (Abdul Halim) mendakwa saya tandatangan dengan Pro24 Agency tanpa pengetahuan beliau tetapi perkara sebenar adalah sebaliknya.

“Saya sudah maklumkan kepada beliau yang saya sudah tandatangani dengan Pro24 Agency tetapi beliau kata tiada masalah kerana beliau boleh selesaikan perkara itu dengan pihak pengurusan BG Pathum United termasuk Pengarah Teknikal dan Ketua Jurulatih.

“Beliau sendiri yang beri jaminan kepada saya ketika itu bahawa tiada masalah dan mengapa pula dalam kenyataannya hari ini (semalam), beliau kata hal itu berlaku tanpa pengetahuannya?

“Keduanya, beliau mendakwa BG Pathum United masih belum membayar yuran ejen kepadanya tetapi kelab sudah memberitahu kepada saya, yuran ejen itu sudah pun diperolehinya. Adakah kelab berbohong atau beliau yang berbohong?

“Secara logiknya kalau belum dapat yuran ejen, sudah tentu beliau masih menghubungi saya dan kelab. Tapi apabila beliau sendiri menghilangkan diri, nampaknya memang dah dapatlah (yuran ejen) rasanya,” kata Mat Yo.

Abdul Halim membuat kenyataan balas selepas BH Sukan, semalam melaporkan Mat Yo mendakwa ejennya itu menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi.

Selain itu, pemain berusia 34 tahun itu turut tidak mahu memanjangkan isu ini, sebaliknya sekali lagi merayu kepada Abdul Halim supaya tampil menghubunginya bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

“Saya pun tak mahu perkara ini berlarutan. Harap beliau dapat hubungi saja saya segera dan kita boleh berbincang perkara yang berkaitan dengan baik. Cuma janganlah lepas tangan,” katanya.