Si manis Nurhafizah

KESUSAHAN hidup sebagai anak petani mengajar seorang gadis tidak memilih kerja bagi membantu meringankan beban keluarga.

Walau dikurniakan paras rupa menarik, Nurhafizah Azmi, 20, tidak malu bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak di Changlun, Kubang Pasu sejak lima bulan lalu dengan gaji RM1,000 sebulan.

Malah, dia tidak kekok melakukan tugas lain termasuk membantu pelanggan mengisi minyak.

“Sebaik tamat sekolah, saya terus ke Pulau Pinang bekerja di sebuah restoran makanan segera selama dua tahun.

“Sekarang saya ada peluang dekat dengan keluarga selepas diterima bekerja di sini, walaupun gaji lebih rendah namun saya dapat menyimpan duit untuk kegunaan masa depan dan ketika kecemasan,” katanya yang berasal dari Kampung Nami, Padang Terap.

Bercerita lanjut, anak ke lima daripada enam beradik ini berkata, dia sangat selesa bekerja di situ kerana majikannya mengambil berat mengenai kebajikan kakitangan.

Pada masa sama, gadis berdarah kacukan Melayu, Thailand dan India ini sentiasa murah dengan senyuman selain mesra pelanggan.

“Bapa selalu berpesan supaya berbuat baik dengan semua orang dan menjaga diri di tempat orang, di sini saya tinggal bersama kakak, selepas balik bekerja saya selalunya berada di rumah dan tidak suka keluar tanpa tujuan.

“Pada hari cuti jika tidak pulang ke kampung, saya akan menjaga tiga anak saudara yang berusia lima, dua tahun dan sebulan berikutan kakak saya mengambil upah menjahit.

sumber: HM

“Saya bercita-cita menceburi bidang seni kebudayaan terutama dalam teater klasik, selepas ini saya akan berusaha untuk mencari peluang itu dan berharap bidang seni membuka jalan untuk saya membina masa depan lebih baik,” katanya.